Bomba siap sedia hadapi kes kebakaran terbuka

Mohd Zahar diiringi Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lembing, Razali Mat, 57 yang menjadi individu pertama membantu memadam kebakaran melibatkan kediaman dan kedai di Sungai Lembing pada 31 Ogos tahun lalu, di sini hari ini.
Mohd Zahar diiringi Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lembing, Razali Mat, 57 yang menjadi individu pertama membantu memadam kebakaran melibatkan kediaman dan kedai di Sungai Lembing pada 31 Ogos tahun lalu, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bersiap sedia dalam aspek keanggotaan dan logistik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kes kebakaran berskala besar melibatkan belukar dan hutan tanah gambut sepanjang musim kemarau ini.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya akan menggerakkan 1,046 anggotanya termasuk 114 anggota bomba bantuan bagi berdepan kes-kes kebakaran terbuka sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga April ini.

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak 271 kelengkapan logistik dipersiapkan untuk digunakan dalam operasi pemadaman kebakaran termasuk 79 jentera operasi, 82 kenderaan utiliti dan 110 pam angkut.

"Antara kawasan panas yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran terbuka termasuk kawasan tanah gambut di sekitar Bukit Palas dan kawasan perindustrian Gebeng, kedua-duanya pernah terbakar pada April tahun lalu dengan keseluruhan kawasan terbakar seluas 100 hektar.

“Tumpuan turut diberikan di beberapa kawasan di daerah Rompin terutama sepanjang jalan sempadan Rompin–Nenasi, Ladang LKPP Sri Kempas, Kampung Selingkong dan kawasan Ladang Yayasan Pahang, Api Larat.

"Turut diberi perhatian kawasan hutan tanah gambut sekitar Penor di sini yang terdedah kepada risiko kebakaran terbuka,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Menurutnya, ketua-ketua balai diarah supaya memantau dan membuat pemeriksaan terhadap jentera dan peralatan yang berada di balai masing-masing supaya semuanya berada dalam keadaan baik.

“Laporan berhubung status semasa aset-aset itu perlu dikemas kini setiap hari dan setakat ini, lebih 80 peratus jentera dan peralatan yang ada di balai-balai di Pahang berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya turut mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Mencegah Kebakaran Di Tanah Gambut pada 10 Januari lalu.

“Selain itu, taklimat berhubung larangan pembakaran terbuka kepada penduduk di daerah Rompin dan pemilik-pemilik ladang turut diadakan,” katanya.

Mohd Zahar berkata, sepanjang bulan pertama tahun ini, sebanyak 79 kes kebakaran terbuka direkodkan melibatkan 56 kes kebakaran belukar dan lalang, kebakaran hutan (10 kes), kebakaran tapak pembuangan sampah (sembilan kes) dan kebakaran kebun serta ladang (empat kes).

“Bagi tahun 2019, sebanyak 1,740 kes kebakaran terbuka direkodkan di negeri ini dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 667 kes berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 1,073 kes,” katanya.