Langkah sumbang PH 'hangatkan' PRK Cameron Highlands?

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah merupakan lokasi penamaan calon PRK Cameron Highlands, hari ini
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah merupakan lokasi penamaan calon PRK Cameron Highlands, hari ini
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Suhu dingin di kawasan peranginan tanah tinggi popular ini tiba-tiba menjadi 'panas' semalam.

Bukan kerana perubahan cuaca, tetapi gara-gara kenyataan Senator PKR, Bob Manolan Mohd yang berbaur 'ancaman' kepada tok batin di Cameron Highlands.

Beliau seperti dilaporkan sebuah portal dikatakan memberi peringatan kemungkinan tok batin di sini akan dipecat jika tidak mengundi PH pada PRK kawasan Parlimen itu pada 26 Januari ini.

Bob Manolan kemudiannya membuat u-turn dan tampil dengan kenyataan untuk menjernihkan keadaan, namun 'kerosakan' telah pun berlaku.

Sedikit sebanyak ia pasti menjejaskan imej PH yang sah akan bertanding di PRK Cameron Highlands melalui calonnya, M Manogaran.

Namun, langkah sumbang PH ini terlebih dahulu dimulakan oleh Manogaran sendiri dengan kenyataan kontroversinya iaitu orang Melayu tidak membeli kuih orang Asli.

Akibatnya beliau mendapat kritikan teruk sehingga terpaksa meminta maaf atas kenyataan tersebut.

Calon dari DAP itu juga seolah-olah membuka peluang kepada lawan khususnya BN untuk mendapat mata kemenangan awal.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, dalam tempoh kempen selama dua minggu ini, tidak mustahil kenyataan-kenyataan kontroversi pemimpin PH akan dijadikan modal pihak musuh.

Meskipun jentera dan kempen tidak rasminya sudah dimulakan awal, nampaknya Manogaran perlu bekerja keras untuk 'membaiki kerosakan awal' yang dilakukan.

PRK Cameron Highlands diadakan setelah kemenangan penyandangnya, Datuk C Sivaraajh dibatalkan Mahakamah Pilihan Raya kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Melalui pengumuman rasmi setakat ini, tiga calon hampir pasti akan bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

PH mencalonkan semula Manogaran yang dua kali tewas sebelum ini iaitu pada PRU14 dan PRU13 lalu.

Sementara BN membuat kejutan dengan mengumumkan calon bukan dari MIC mahupun Umno.

Sebaliknya memilih calon yang menyokong BN iaitu Ramli Mohd Nor yang merupakan bekas pegawai kanan polis berketurunan Orang Asli.

Ramli disifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai calon yang kuat dan PH akan menurunkan pimpinan kanan termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu untuk membantu kempen Manogaran.

Tan Sri M Kayveas yang sebelum ini mengumumkan bakal bertanding dikhabarkan tidak pasti sama ada akan menggunakan nama partinya, MyPPP atau sebagai calon Bebas.

Difahamkan seorang lagi calon Bebas telah membeli borang pencalonan namun tidak dapat disahkan identitinya.

Penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan berlangsung hari ini.

Pada PRU14, Sivaraajh menang dengan 10,307 undi menewaskan empat calon lain, Manogaran - PH (97,10), Wan Mahadir Wan Mahmud-Pas (3,587), B.Suresh Kumar-PSM (680) dan Mohd Tahir Kassim-Bebas (81).