Lelaki acu gunting ditahan

Seorang anggota polis sedang menenangkan lelaki tersebut sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan.
A
A

BAYAN BARU - Seorang lelaki ditahan selepas didapati mengamuk secara tiba-tiba di bawah sebuah blok di Bukit Gedung, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang tadi, lelaki berusia 30 tahun itu dilihat sedang memegang sebilah gunting sambil meracau.

Ketika dihampiri seorang penduduk untuk ditenangkan, lelaki tersebut terus mengacukan gunting ke arahnya lalu berlari ke perhentian bas Persiaran Mayang Pasir, Bukit Gedung di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, dengan bantuan beberapa penduduk, lelaki tersebut berjaya ditangkap kerana tindakannya mendatangkan bahaya kepada orang awam.

"Setelah ditangkap, penduduk telah menghubungi Balai Polis Bayan Baru untuk bantuan. Lelaki tersebut didapati mengalami kecederaan di bahagian dagu, bengkak di kedua-dua tangannya dan kaki kiri.

"Ujian saringan air kencing lelaki terbabit menunjukkan negatif dan dia tiada rekod sakit mental. Lelaki itu tidak bekerja dan mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan dadah," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, polis sedang menyiasat punca sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.