Hak pekerja warganegara tidak akan dinafikan: KSM

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia menegaskan akan sentiasa memberi keutamaan pekerjaan kepada pencari kerja warganegara seperti yang digariskan dalam dasar kerajaan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan memastikan bahawa pekerja warganegara tidak dinafikan hak untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggaji pekerja asing.

Menurut kenyataan itu lagi, hanya jawatan yang tidak dapat diisi pekerja warganegara yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk menggaji pekerja asing termasuklah pengawal keselamatan warga asing.

“Penggajian pekerja asing di Malaysia melibatkan bidang kuasa dua Kementerian utama iaitu Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). KDN bertanggungjawab dalam hal-hal keimigresenan dan juga keselamatan termasuklah penggajian pengawal keselamatan di negara ini,

"Kementerian Sumber Manusia pula bertanggungjawab ke atas hal-hal penggajian dan perburuhan dengan memastikan majikan yang membawa masuk pekerja asing perlu mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang buruh yang sedang berkuat kuasa sama seperti pekerja tempatan,” kata kementerian itu.

Selain itu, kementerian menyeru majikan yang menggajikan secara terus pengawal keselamatan dan kepada syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang membekalkan pekerja supaya menawarkan pakej penggajian yang menarik dan melebihi kehendak peruntukan-peruntukan dalam undang-undang perburuhan.

“Contoh kemudahan dan insentif ialah pengangkutan, penginapan, pakaian seragam yang mencukupi, makan, pinjaman dalam bentuk kewangan atau peralatan, bonus tahunan, pakej percutian yang bersesuaian dan peluang peningkatan kerjaya yang lebih tinggi kepada pekerja tempatan.

“Kementerian juga mengalu-alukan persatuan bekas tentera dan polis untuk menggalakkan kalangan anggota mereka yang berminat dan mempunyai keadaan fizikal serta kesihatan yang baik untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan,” kata kementerian itu lagi.

Artikel Berkaitan: