Kilang tidak naikkan harga simen: KPDNHEP

Saifuddin mengesahkan tiada kenaikan harga simen di peringkat pengilangan.
Saifuddin mengesahkan tiada kenaikan harga simen di peringkat pengilangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada kenaikan harga simen di peringkat pengilangan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbandingan harga diperoleh daripada maklum balas Notis 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011(AKHAP 2011) terhadap empat pengilang simen utama pada 3 Februari lalu.

Menurutnya, notis tersebut dikeluarkan KPDNHEP kepada Slag Cement (Southern) Sdn Bhd, Lafarge Cemenr Sdn Bhd, Holcim (Malaysia) Sdn Bhd dan YTL Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

"Apabila perbandingan harga bagi tempoh empat tahun dilakukan, didapati berlaku penurunan harga dan kos untuk simen di peringkat pengilang.

"Pemeriksaan akan diteruskan di peringkat pemasaran am bagi mendapatkan butiran atau maklumat lanjut berhubung harga yang ditawarkan kepada peringkat pengedar.

"Bahagian penguat kuasa kementerian akan menyediakan laporan terperinci berkenaan kenaikan harga simen setelah siasatan di peringkat pemasaran am ini dilengkapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, pemeriksaan yang dilakukan itu susulan aduan daripada Pengerusi Persatuan Pembina Johor (JMBA) dan melalui media sosial berhubung dakwaan berlakunya kenaikan 20 hingga 50 peratus harga simen.

Menurutnya, siasatan dijalankan sejak 3 Februari dengan melawat pengadu dan kilang selain mengeluarkan Notis 21 di bawah AKHAP 2011 kepada pemain industri bagi membekalkan maklumat yang diperlukan pihak kementerian.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tanpa fakta atau bukti yang berasas.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau ingin membantu siasatan boleh menghubungi KPDNHEP melalui beberapa saluran aduan termasuk WhatsApp ke 019-2794317," katanya.