Malaysia perlu tangani ekonomi mencabar sepanjang 2020

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak proaktif melaksanakan pelan pakej rangsangan ekonomi domestik yang inklusif dengan segera untuk membantu menangani suasana ekonomi mencabar sepanjang tahun 2020.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaan pelan itu sangat penting memandangkan pelbagai faktor luaran seperti perang perdagangan ekonomi Amerika Syarikat-China, isu Brexit dan terkini isu penularan wabak koronavirus (Covid-19) menyumbang kepada penguncupan serius ekonomi negara sekiranya tidak ditangani secepat mungkin.

Menurutnya, kerajaan perlu mengawal pertumbuhan ekonomi domestik bagi menangani senario ekonomi dunia mencabar dengan perincian pakej rangsangan ekonomi perlu ditumpukan kepada beberapa segmen.

“Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi domestik perlu mencakupi komponen terpenting iaitu perbelanjaan boleh guna rakyat dengan kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak pendapatan boleh guna untuk rakyat berbelanja.

“Saya fikir kaedah terbaik ialah kerajaan melancarkan semula pelan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sebelum ini pernah dilaksanakan sewaktu negara berhadapan kegawatan ekonomi.

“Paling penting, kerajaan perlu melaksanakan segala projek pembangunan infrastruktur dan projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di peringkat jangka masa pendek dan panjang bagi memberi kembali impak positif kepada pasaran saham,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dr Mohd Afzanizam berkata demikian merujuk kepada laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2019 adalah sebanyak 4.3 peratus, paling rendah sepanjang tempoh 10 tahun ini.

Malah, penularan virus Covid-19 juga dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali mencadangkan kerajaan menubuhkan satu pasukan khusus untuk menilai cabaran ekonomi dihadapi negara sepanjang tahun 2020 dan mencari kaedah penyelesaian strategik dengan segera.

“Kita perlu ingat pertumbuhan ekonomi negara dilihat sangat pada penghujung tahun 2019 walaupun ketika itu penularan virus Covid-19 belum memberi kesan kepada ekonomi dunia.

“Saya bimbang dengan pendirian kerajaan yang lewat mengakui pertumbuhan ekonomi negara akan perlahan dan berharap kerajaan cepat mengambil langkah khusus dan strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi negara ketika ini,” katanya.

Dr Noor Azlan berkata, pihaknya sudah menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi negara hanya mencapai 4.3 peratus tahun lalu dengan faktornya disebabkan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli yang jauh lebih rendah dan kejatuhan eksport akibat perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Selain faktor luar itu, katanya, masalah dalaman negara juga perlu ditangani segera seperti kestabilan politik dan polisi pentadbiran boleh dijangka bagi mengelakkan reputasi negara terus terjejas.