Nissan saman Carlos Ghosn RM372 juta

Pendakwa raya di Jepun mengeluarkan waran tangkap ke atas isteri Ghosn pada bulan lalu. - Foto Agensi
Pendakwa raya di Jepun mengeluarkan waran tangkap ke atas isteri Ghosn pada bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Syarikat gergasi pembuat kereta di Jepun, Nissan hari ini memfailkan saman untuk menuntut semula kira-kira AS$90 juta (RM372 juta) daripada bekas Pengerusi, Carlos Ghosn atas salah laku dan kegiatan penipuan yang dilakukannya selama beberapa tahun.

Sebelum ini, Ghosn, 65, berdepan beberapa dakwaan salah laku di Tokyo namun beliau melarikan diri ke Lubnan sebelum menghadapi perbicaraan.

Nissan dalam satu kenyataan berkata, tuntutan yang dibuat itu dikira berdasarkan kos terpaksa dihadapi firma terbabit atas amalan korupsi Ghosn.

Ia juga menuduh Ghosn menggunakan hartanah di luar negara tanpa membayar sewa, menggunakan jet korporat untuk urusan peribadi, membuat bayaran untuk ahli keluarga dan peguam peribadinya di Lubnan.

"Jumlah tuntutan itu dijangka meningkat dan Nissan juga bercadang untuk memfailkan saman ke atasnya kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan berunsur fitnah ketika sidang media di Beirut," katanya.

Beliau yang pernah disanjung kerana menjadi penyelamat Nissan ketika berada di ambang bankrap dikenakan tahanan rumah selama lebih 100 hari selepas diberkas di Jepun pada November 2018.

Ghosn bagaimanapun mencetuskan kontroversi kerana melanggar perintah ikat jamin di Tokyo selepas berjaya meloloskan diri dan terbang ke Lubnan tanpa dikesan pihak berkuasa. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Nissan ibarat pepatah berkerat rotan, berpatah arang dengan Renault

Artikel Berkaitan:

Bekas Pengerusi Nissan 'lari' ke Lubnan

Carlos Ghosn sembunyi dalam kotak alat muzik lari dari Jepun