Jangan jejas hubungan pelbagai kaum

No Image Caption
A
A
A

KUALA PILAH – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mewujudkan keadaan yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui hantaran atau ‘posting’ dan juga komen di media sosial.

Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau berdasarkan aduan yang diterima untuk diambil tindakan.

"Saya difahamkan sehingga hari ini, lebih 10 aduan yang diterima melibatkan kes-kes yang dikatakan menjejaskan kemuliaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang telah disiasat dan diambil tindakan.

"Perkara-perkara yang sensitif yang melibatkan kaum sentiasa dijaga dan diambil tindakan oleh MCMC dan polis. Jadi MCMC dan polis, kita bertindak bersama berdasarkan aduan yang diterima," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan 'Kembali ke Sekolah' Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai muktahir ini terdapat banyak kes-kes menghina institusi diraja dan menyentuh sensitiviti kaum di sosial media.

Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, hubungan baik antara kaum sedia ada perlu dikekalkan dan dipertahankan demi keharmonian dan kemakmuran negara kerana sekiranya tidak dikawal ia boleh menjadikan negara dalam keadaan huru-hara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata pengubalan undang-undang baharu yang bertujuan melindungi kesucian institusi diraja adalah tidak perlu memandangkan undang-undang sedia ada sudah memadai.

Artikel Berkaitan:

"Malah, Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi Raja-Raja Melayu. Saya percaya undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menghukum mereka yang didapati bersalah... cuma, bentuk pelaksanaan itu mungkin mengikut kesesuaian.

"Raja-Raja Melayu sebagai payung kepada rakyat dan kalau rakyat tidak boleh menghormati, saya percaya tindakan tegas akan diambil, tidak kira kaum termasuk kaum Melayu sendiri," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai berkata undang-undang baharu akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina dan diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Liew berkata, pindaan akan turut dibuat pada undang-undang sedia ada bagi tujuan yang sama.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, seramai 234 pelajar kurang berkemampuan menerima sumbangan masing-masing selain 49 orang pelajar cemerlang daerah itu turut menerima sumbangan. - Bernama