'Penyebar super' Covid-19 di Britain sembuh

Walsh dikatakan tidak menunjukkan simptom jangkitan Covid-19. - FOTO: AFP
Walsh dikatakan tidak menunjukkan simptom jangkitan Covid-19. - FOTO: AFP
A
A
A

LONDON - Seorang ahli perniagaan warga Britain yang digelar sebagai 'penyebar super' koronavirus (Covid-19) semalam mengesahkan dia kini telah sembuh namun masih diasingkan di sebuah hospital di London.

Steve Walsh dimasukkan ke Guys and Thomas' Hospital selepas dijangkiti virus itu ketika menyertai mesyuarat perniagaan mewakili syarikat analisis gas asli Servomex di Hotel Grand Hyatt di Singapura pada 20 hingga 22 Januari lalu.

Walsh, 53, dipercayai turut menjangkiti kira-kira 11 rakyat Britain yang lain termasuk lima di sebuah resort ski di Alps, Perancis dan lima lagi dijangkiti ketika dia pulang ke bandar kediamannya di Brighton di pantai tenggara England.

Difahamkan, seorang lagi individu disahkan positif ketika dia bercuti di Sepanyol.

"Saya segera menghubungi pihak berkuasa kesihatan selepas mengesyaki mungkin dijangkiti Covid-19. Saya kemudiannya ditempatkan di bilik pengasingan di hospital tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan turut melakukan pengasingan sendiri di rumah walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom," katanya.

Walsh menjadi tumpuan media selepas salah sebuah pusat perubatan di bandar pesisir terpaksa ditutup sementara berikutan dua kakitangan dijangkiti Covid-19.

Sehingga kini, kira-kira 1,358 telah menjalani ujian dan sebanyak lapan kes jangkitan telah direkodkan. - AFP

Artikel Berkaitan: