Malaysian Tigress perlu teruskan perjuangan

Hanis Nadiah Onn
Hanis Nadiah Onn
A
A
A

SKUAD Malaysian Tigress perlu mengekalkan fokus dalam meneruskan perjuangan mengembangkan prestasi terkini pasukan biarpun bersedih dengan keputusan mengejut jurulatih hoki berpengalaman Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Gesaan itu disuarakan penyerang prolifik negara, Hanis Nadiah Onn demi masa depan hoki wanita negara walaupun mengakui keputusan pengendali berusia 50 tahun itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan.

Selasa lalu, Dharma Raj mengumumkan perpisahannya bersama Malaysian Tigress selepas memutuskan untuk tidak memohon kembali jawatan ketua jurulatih pasukan itu susulan beberapa dakwaan mengaitkan dirinya seolah-olah berpaling tadah terhadap Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Jelas Hanis Nadiah, Dharma Raj adalah watak penting dalam episod kebangkitan prestasi skuad wanita negara sehingga di bawah kendaliannya, beliau muncul pemain wanita pertama negara dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik Asia 2016.

"Bagi saya, hanya ilmu dicurahkan serta kata-kata semangat coach Dharma Raj akan menjadi ingatan kami sepasukan. Perjuangan ini kami akan teruskan tidak kira di bawah kendalian siapa pun dan semua pemain perlu kekal bersatu untuk kita bawa Malaysian Tigress ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan.

"Sedih bila beliau (Dharma Raj) buat keputusan tinggalkan Malaysian Tigress tapi saya berbangga sebab beliau bawa kami sehingga ke tahap tertinggi, ada antara kami berpeluang bermain di liga Eropah yang menjadi idaman setiap pemain di dunia," katanya kepada pemberita.

Laporan Sinar Harian Selasa lalu.
Laporan Sinar Harian Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pandangan sama pakar pukulan sudut penalti Malaysian Tigress, Nuraini Abd Rashid yang menyeru rakan sepasukan untuk terus memberikan komitmen kepada segala perancangan KHM.

"Ia satu keputusan yang berat untuk diterima tetapi kami semua masih di bawah KHM jadi kita perlu hormat segala keputusan dibuat dan teruskan apa sahaja program KHM dan MSN yang dirancangkan untuk pasukan," katanya.

Antara kejayaan diraih Muhammad Dharma bersama pasukan wanita adalah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) 2017 dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Pada Disember lalu, KHM mengumumkan penamatan kontrak semua jurulatih di bawah badan induk itu kecuali ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltman, dalam usaha menyuntik nafas baharu kepada struktur arena hoki tanah air. - Bernama