UAE sedia peralatan mencukupi kekang penularan Covid-19

Gambar hiasan - Foto Getty Images
Gambar hiasan - Foto Getty Images
A
A
A

ABU DHABI - Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara negara pertama bersiap sedia dengan peralatan mencukupi untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Kesihatan dan Pencegahan, Abdul Rahman Mohammad bin Nasser Al Owais berkata, lebih 500 petugas bekerja sepanjang masa untuk menyediakan bantuan logistik dan menjalankan penyelidikan perubatan.

"Sebaik penularan wabak virus dari China itu dilaporkan, kami telah menyediakan termometer yang cukup di pintu masuk sempadan dan lapangan terbang.

"Kami mengambil langkah berjaga-jaga selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Menteri itu berkata, negara mempunyai simpanan peralatan perubatan yang diperlukan seperti topeng pembedahan, sarung tangan, gogel dan pakaian pelindung.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin koronavirus dijangka siap lebih awal

Angka korban koronavirus cecah 1,110 orang

China pecat pegawai gagal tangani krisis koronavirus

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, beberapa kilang dalam negara terus mengeluarkan peralatan perubatan berkualiti yang memenuhi standard antarabangsa," katanya.

Jelas beliau tempoh inkubasi untuk penyakit itu berdasarkan garis panduan WHO, antara satu ke 11 hari, dan sehingga 16 hari untuk kes-kes tertentu.

"Kesemua kes yang dikesan di UAE berjaya dikawal dan semua langkah yang diperlukan untuk mencegah penularan jangkitan telah diambil," katanya.

Al Owais berkata, tahap kesediaan institusi kesihatan awam dan swasta turut dipertingkatkan.

"Tahap pemeriksaan saringan kesihatan di lapangan terbang juga dinaik taraf termasuk di agensi penerbangan awam. Kami juga telah bersiap sedia memindahkan penduduk jika keadaan memerlukan," katanya.

Di samping itu, katanya UAE turut menyediakan pusat komunikasi dalam bahasa Mandarin untuk mengumpul maklumat mengenai kes disyaki.

UAE akan terus bekerjasama rapat dengan WHO untuk mendapatkan perkembangan terkini. - Bernama