45 majikan didakwa gagal patuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja

Farihah (kiri) mengedarkan risalah kepada peniaga di sekitar Kuala Terengganu.
Farihah (kiri) mengedarkan risalah kepada peniaga di sekitar Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 45 majikan di negeri ini didakwa ekoran gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 pada 2019.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, antara kesalahan dilakukan ialah gagal mendaftarkan perusahaan, tidak mendaftar pekerja dan gagal membayar caruman.

"Majikan atau pekerja yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media hari ini.

Farihah berkata, sebanyak 84 kompaun dikeluarkan kepada majikan yang masih ingkar melibatkan nilai keseluruhan RM97,500 sepanjang 2019.

"Jumlah itu melibatkan sebanyak RM68,500 bagi Kuala Terengganu, RM9,500 (Dungun) dan RM19,500 (Kemaman).

"Setakat ini nilai kutipan diterima sebanyak RM35,350," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, Perkeso Terengganu akan mengadakan operasi mengesan majikan yang belum mendaftarkan perusahaan dan pekerja menerusi Ops Kesan yang akan dijalankan secara besar-besaran bermula Mac nanti.

Katanya, objektif utama operasi itu ialah untuk memastikan semua pekerja mendapat hak pelindungan keselamatan sosial dengan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini akan turut disertai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan pekerja dicarum dalam kedua-dua agensi.

"Sebelum Ops Kesan diadakan, Perkeso Terengganu akan melaksanakan Ops Pemutihan sepanjang bulan ini bagi memberi peringatan kepada semua majikan di negeri ini supaya segera mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka," katanya.