Latihan oleh DOJ bukan kerana kes berprofil tinggi

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bergambar bersama sebahagian hakim-hakim yang hadir pada Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia kali ke-53 hari ini.- Foto Bernama.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bergambar bersama sebahagian hakim-hakim yang hadir pada Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia kali ke-53 hari ini.- Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum hari ini menjelaskan latihan yang dijalankan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bagi hakim dan pegawai kehakiman Malaysia bukan disebabkan kes pengubahan wang haram berprofil tinggi seperti yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka telah melatih kita sejak sebelum itu lagi, sejak dua tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Hakim-hakim Malaysia ke-53, di sini hari ini.

Beliau berkata, DOJ antara lain memberi bimbingan akan bagaimana mengendalikan perbicaraan membabitkan kes-kes jenayah moden seperti pengubahan wang haram, penipuan mata wang kripto dan penyeludupan manusia.

“Mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam kes-kes sedemikian dan mereka yang tawarkan kepada kita,” katanya menjawab soalan akan keperluan badan kehakiman Malaysia menerima latihan daripada DOJ.

Terdahulu hari ini semasa berucap melancarkan Tahun Perundangan 2019, Malanjum berkata hakim dan pegawai kehakiman Malaysia menerima latihan DOJ berhubung pengendalian kes jenayah moden seperti pengubahan wang haram, penipuan mata wang kripto, keganasan dan penyeludupan manusia.

Malanjum juga berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) akan membincangkan pelan penggantian dalam kehakiman memandangkan tujuh hakim Mahkamah Persekutuan akan bersara tahun ini.

“Sudah tentu kita ada pelan namun tidak boleh didedahkan kerana ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” kata Malanjum yang juga Pengerusi JAC.

Bagaimanapun katanya beliau tidak pasti sama ada pelan penggantian itu telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Tujuh hakim yang dijangka bersara tahun ini merupakan empat hakim utama termasuk Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Tiga lagi ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan dua wanita melibatkan warga Filipina dan Thailand yang disabitkan kesalahan mengedar dadah serta dijatuhi hukuman mati, Malanjum berkata penghakiman oleh panel sembilan hakim tersebut akan dibuat pada Februari.

Beliau berkata undang-undang membenarkan hakim- hakim yang masih ada dalam panel membuat penghakiman sekiranya seorang daripada mereka bersara.

Lima hakim dalam panel sembilan orang itu dijangka bersara tahun ini.

Dalam rayuan mereka yang didengar pada Rabu, kedua-dua wanita terbabit mempertikaikan keperlembagaan Seksyen 37A Akta Dadah Berbahaya yang membenarkan mahkamah menggunakan anggapan berganda memiliki dan mengedar dadah untuk mensabitkan tertuduh. - Bernama