X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa hisap dadah depan isteri, anak

Bapa lima anak tanpa segan silu menghisap dadah di hadapan anaknya. - Foto AADK
A
A

SUNGAI PETANI - Bapa kepada lima anak sanggup hisap dadah di hadapan isteri serta tiga anak termasuk bayi mereka yang masih dalam tempoh berpantang di Taman Seri Putra di sini.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pegawai penguat kuasa di ruang tamu rumah itu dalam Ops Cegah 11 malam semalam.

"Kami juga mengesan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah mereka berkemungkinan bertujuan mengelakkan daripada ditangkap," katanya.

CCTV yang merakamkan situasi di luar rumah seorang penagih berstatus bapa kepada lima anak. - Foto AADK
CCTV yang merakamkan situasi di luar rumah seorang penagih berstatus bapa kepada lima anak. - Foto AADK

Menurutnya, lelaki terbabit antara 19 individu ditahan dalam Ops Cegah 11 yang dijalankan ke 16 kawasan panas seluruh daerah ini bermula 9 pagi hingga 11.30 malam.

Dalam operasi sama di Taman Lembah Permai, Bedong, seorang lelaki berusia 27 tahun terjatuh dari atas siling ketika cuba bersembunyi daripada penguat kuasa.

"Ketika ditahan, dia masih dalam keadaan khayal dan cuba mengugut mahu membunuh diri," katanya.

Seorang lelaki cuba menyembunyikan diri di atas siling sebelum siling rumahnya roboh dan lelaki terbabit terjatuh menyebabkannya ditahan. Foto AADK
Seorang lelaki cuba menyembunyikan diri di atas siling sebelum siling rumahnya roboh dan lelaki terbabit terjatuh menyebabkannya ditahan. Foto AADK

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Kuala Muda untuk ujian saringan awal air kencing dan 18 daripada mereka yang berusia di antara 15 hingga 40 tahun didapati positif dadah.

"Kesemua mereka akan disiasat bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Katanya, AADK Daerah Kuala Muda sentiasa membuka peluang kepada individu yang terjebak dengan dadah hadir ke pejabat agensi itu untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemulihan secara sukarela.