X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang media khas jawab kedudukan Tengku Abdullah?

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri baginda Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang media khas yang dijadualkan di Istana Abu Bakar, Pekan esok bakal menjawab persoalan adakah pengumuman melantik pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak memaklumkan kepada media, akan ada satu sidang media khas mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang, bertempat di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, 3 petang esok.

“Keputusan mengenai apa-apa sahaja. Esok jam 3 petang di Istana Abu Bakar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Tengku Abdullah menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu.

Tengku Abdullah kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Difahamkan, agenda utama mesyuarat itu bagi melantik baginda sebagai Sultan Pahang yang baharu, menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah yang kini sedang gering.

Sejurus mesyuarat itu berakhir, baginda berkenan mengambil gambar kenang-kenangan bersama Kerabat Diraja, berserta Ahli Jumaah Pangkuan Diraja yang lain.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencuri perhatian kerana baginda kelihatan sebak dan mengalirkan air mata sambil berpelukan dengan kaum kerabat yang lain sebelum pasangan Diraja itu berkenan mengambil gambar.

Dalam masa sama, laungan Daulat Tuanku kedengaran sebanyak tiga kali beberapa minit sebelum berakhirnya Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang, yang dipengerusikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tamat sepenuhnya.

Tengku Abdullah ketika ditemui bagaimanapun enggan memberi sebarang titah, namun mengucapkan terima kasih menjawab ucapan tahniah daripada wartawan.

Khabar angin juga mengatakan Tengku Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejurus ditabal sebagai sultan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!