Tiga pemancing sesat ditemukan selamat

Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaaan selamat selepas tersesat dalam kawasan hutan di Gabeng, semalam. - Foto: JBPM
Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaaan selamat selepas tersesat dalam kawasan hutan di Gabeng, semalam. - Foto: JBPM
A
A
A

KUANTAN - Tiga pemancing yang dilaporkan hilang selepas sesat di kawasan hutan di Gebeng di sini ditemukan dalam keadaan selamat malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Penolong Kanan Penguasa Bomba Rosdan Zakaria berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 24 hingga 25 tahun itu ditemukan pada jam 8.07 malam di lokasi kira-kira empat kilometer dari jalan utama berhampiran bulatan Gebeng di sini.

Menurutnya, ketika ditemui semua mangsa berada dalam keadaan selamat, namun keletihan.

"Tiga lelaki itu dipercayai masuk ke kawasan hutan berkenaan pagi semalam untuk memancing di sebatang sungai dan sepatutnya keluar lewat petang semalam.

"Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang, namun gagal mencari jalan keluar dan terkandas di kawasan hutan berkenaan.

"Kehilangan tiga pemancing itu disedari rakan selepas mereka gagal keluar hingga malam sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Anggota bomba dibantu polis dan rakan-rakan mangsa menggerakkan operasi mencari sebelum ketiga-tiga mangsa yang sesat berjaya ditemui dan dibawa keluar dari kawasan hutan di Gebeng di sini malam tadi. - Foto: JBPM
Anggota bomba dibantu polis dan rakan-rakan mangsa menggerakkan operasi mencari sebelum ketiga-tiga mangsa yang sesat berjaya ditemui dan dibawa keluar dari kawasan hutan di Gebeng di sini malam tadi. - Foto: JBPM

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7 petang sebelum tujuh anggota dikerah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi dijalankan turut melibatkan anggota polis dan rakan-rakan mangsa.

"Anggota kita memulakan pencarian dengan menyusuri laluan yang disyaki digunakan mereka untuk masuk ke kawasan berkenaan.

"Semasa proses pencarian, mangsa masih boleh dihubungi melalui telefon. Bagaimanapun pencarian berdasarkan lokasi kedudukan mereka melalui aplikasi Google Map yang dihantar tersasar ke arah lain," katanya.

Beliau berkata, kedudukan mangsa berjaya dikesan selepas anggota ternampak cahaya lampu sebelum menuju ke arah itu dan akhirnya kesemua mereka berjaya ditemui.

"Mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.