MITC bakal tarik pelaburan asing RM500 juta

Shah Said
Shah Said
A
A
A

KUANTAN - Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) dijangka dapat menarik pelaburan asing sebanyak RM500 juta melalui hasil kerjasama dengan syarikat multinasional dalam industri seperti minyak, tekstil, perladangan dan makanan.

Presidennya, Shah Said berkata, pihaknya memeterai memorandum persefahaman (MoU) disebabkan minat dan komitmen ditunjukkan syarikat terbabit menerusi rancangan pelaburan besar.

"Kita menerima maklum balas daripada syarikat itu dan mereka menyifatkan Malaysia sebagai lokasi yang amat baik untuk perniagaan dan akan terus menjadi negara penting bagi mereka untuk melabur.

“Kita yakin dengan jumlah pelaburan sebesar itu dijangka akan mencipta lebih 2,600 pekerjaan baharu bagi penduduk dan mengukuhkan ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shah Said berkata, MITC adalah organisasi bebas dan tidak berasaskan keuntungan.

Katanya, ia berperanan mewakili lebih 138 syarikat menerusi dokumen MoU berhubung penyediaan perkhidmatan pengurusan teknikal dan fasiliti perniagaan.

Jelasnya, ini bermaksud MITC berfungsi sebagai ‘Suara Komuniti Perdagangan Malaysia dan Antarabangsa' untuk membantu syarikat.

"Kita akan memberi input hal berkaitan dasar dan polisi kerajaan bagi memudahkan langkah usahawan luar negara memperluas pasaran dengan potensi yang ditawarkan MITC di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan usaha yang digerakkan itu berupaya menggalakkan lebih banyak kerjasama sektor ekonomi dan meningkatkan perdagangan dalam kalangan usahawan dari dalam serta luar negara.

"Tumpuan terhadap beberapa bidang juga perlu diberi perhatian supaya ia dapat mendatangkan manfaat kepada usahawan, kerajaan serta seluruh masyarakat," katanya.

Shah Said menambah tidak banyak negara yang boleh menyediakan keistimewaan seperti yang ada di negara ini termasuklah cuaca yang baik (tidak dilanda bencana alam), penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding negara lain.

Selain itu, katanya, Malaysia juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti sekolah antarabangsa.

"Ini menjadikan kehidupan di negara ini bukan sahaja lebih mudah untuk golongan expatriat, tetapi juga keluarga mereka,” katanya.