Lapor polis: Sekumpulan lelaki mencurigakan di Sendayan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis meminta orang awam yang melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Nusari Bayu 2, Sendayan dekat sini, untuk tampil memberi maklumat.

Ketua Polis daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 41 tahun pada Selasa lepas, mendakwa anak lelakinya berusia 12 tahun, melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah mereka pada 3.05 petang.

“Ketika anak lelakinya hendak membuka kunci pintu pagar rumah, dia telah dipanggil seorang lelaki dari arah belakang. Setelah menoleh, kanak-kanak tersebut melihat seorang lelaki berkulit gelap yang baru turun dari sebuah kereta sedang menuju ke arahnya dengan jarak lebih kurang 20 meter,” kata Hock Poh dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak tersebut yang ketakutan kerana tidak mengenali lelaki tersebut telah berlari ke arah rumah jiran berhampiran dan mendakwa nampak lelaki tersebut terjatuh dan berpatah balik masuk semula ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang di dalamnya ada dua lelaki lain.

“Siasatan melalui jiran anak pengadu mendapati tidak nampak kereta yang dimaksudkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kes ini dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat ASP Razly Mazli di talian 06-6033269 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban melalui talian hotline 06-6014999,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: