PBPKL jadi makmal rujukan jamin keselamatan makanan

Munir (kiri) menunjukkan demonstrasi pensampelan ikan di Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur semalam.
Munir (kiri) menunjukkan demonstrasi pensampelan ikan di Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) berperanan sebagai makmal rujukan bagi jaminan keselamatan makanan dengan menjalankan aktiviti kesihatan awam dan kesihatan ikan.

Dua peranan besar pusat berkenaan adalah untuk memastikan makanan atau produk yang dihasilkan daripada sektor perikanan memenuhi kehendak pengguna dari segi keselamatan dan selamat dimakan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, keselamatan makanan menjadi isu penting bagi rakyat Malaysia dan juga dunia.

Justeru, katanya, Jabatan Perikanan dan kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berperanan besar memastikan makanan berkenaan selamat dimakan, seterusnya menjadi satu agenda yang sangat penting.

“Sudah tentu banyak program kawalan rasmi yang dilaksanakan, antaranya Sanitary and Phytosanitary Aquaculture (SPS Aquaculture) serta aktiviti akuakultur yang melibatkan program pemantauan iaitu Aquaculture Residue Monitaring Program (ARMP).

“Sebanyak enam lagi makmal menawarkan perkhidmatan analisis untuk pemantauan kesihatan ikan (tiga makmal) dan kesihatan awam (tiga makmal) di seluruh Malaysia iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Sarawak dan Johor,” katanya kepada Sinar Harian sempena program lawatan Ketua Pengarah Perikanan bersama media di Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur di sini semalam.

Munir berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak dan kementerian yang lain untuk membantu usaha kerajaan memastikan makanan yang dihasilkan bukan sahaja menepati standard atau piawaian yang ditetapkan, malah tidak memudaratkan pengguna.

“Banyak isu berkaitan makanan yang dicemari. Sehubungan itu, Jabatan Perikanan akan mengambil langkah tertentu bagi memastikan produk yang dihasilkan di ladang tidak mengandungi bahan terlarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhannya pada tahun 2019, PBPKL telah menjalankan sebanyak 3,158 analisis. Hasil pembangunan kaedah analisis makmal tersebut mengikut piawaian yang selaras dengan akreditasi MS 1SO/IEC 17025.