X

Kindly register in order to view this article
!

Negara hanya akan makmur jika rakyat saling menghormati

Noor Azleen (tiga dari kiri) ketika beramah mesra bersama seorang warga emas berbangsa Tiong Hua di Pasir Gudang.
A
A

JOHOR BAHRU - Amalan muafakat dan hormat-menghormati antara kaum menjadikan Malaysia unik dalam kelasnya yang tersendiri.

Dengan jumlah populasi mencecah 32.6 juta setakat tahun lalu, Malaysia juga dilihat antara negara yang berjaya menyatupadukan rakyatnya baik dari segi ekonomi mahupun tampuk pemerintahan tanpa mengetepikan status kaum.

Namun, saban hari perkara berkaitan kaum di negara ini seakan-akan diuji. Malah, ada pihak yang sengaja mencetuskan provokasi demi kepentingan diri mahupun pihak tertentu.

Jika tidak ditangani secara serius, perkara seperti itu mampu menjadi wabak yang boleh meragut kemakmuran dan kedaulatan negara.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros, tiada siapa boleh menafikan bahawa asas pembentukan Malaysia terletak pada keharmonian masyarakat berbilang bangsanya.

“Keupayaan negara menguruskan rakyat pelbagai bangsa selama ini menjadi tunjang kepada pembangunan negara dan masa depannya.

“Namun, menguruskan kepelbagaian itu tidak datang percuma dan ia juga tidak berlaku secara semula jadi. Menguruskan kemajmukan itu menuntut suatu usaha yang bersepadu, melibatkan pengorbanan dan membawa kepada sikap saling mempercayai,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Azleen berkata, masyarakat hari ini juga perlu disemaikan dengan semangat serta kepentingan nilai berbaik sangka, tolak ansur dan empati dalam diri masing-masing.

“Perkara itu harus dipegang oleh setiap ahli masyarakat jika tidak mahu melihat masalah perkauman menjadi pisau yang boleh merobek nilai kepercayaan sekali gus terperangkap dengan sentimen perkauman dan buruk sangka,” katanya.

Noor Azleen (tengah) bergambar bersama peserta program Mahasiswa Bersama Masyarakat di Pasir Gudang baru-baru ini.
Noor Azleen (tengah) bergambar bersama peserta program Mahasiswa Bersama Masyarakat di Pasir Gudang baru-baru ini.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu sentiasa memupuk nilai-nilai murni dan semangat saling memahami antara satu sama lain sejak dari usia muda.

“Untuk menjayakan perkara ini, ia perlu berlaku dalam suasana yang kondusif. Saya berpandangan bahawa sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk semua ini berlaku.

“Anak-anak diberi peluang untuk bergaul dan berinteraksi sesama rakan-rakan dalam pelbagai kaum. Anak-anak bukan sahaja digalak untuk meraikan setiap perayaan rakan-rakan mereka di sekolah, malah berpeluang mengenali budaya dan tradisi kaum-kaum lain

“Tidak mustahil hubungan yang terbina sejak di bangku sekolah akan kekal sampai mereka mencapai umur dewasa,” katanya.Ditanya pandangannya mengenai apakah punca utama yang sering kali mencetuskan perbalahan kaum, Noor Azleen memberitahu, dalam setiap usaha penyatuan pasti akan ada segelintir pelampau yang cemburu dan bencikan kedamaian.

Pelampau

“Kita boleh lihat puak-puak pelampau ini takkan berhenti selagi tidak berlaku huru-hara. Semuanya kerana perasaan hasad dengki dan niat jahat untuk menghalang usaha ke arah kebaikan.

“Mereka ini sentiasa mempunyai fahaman sempit, buruk sangka, serta sering mengambil pendekatan melampau dalam menguruskan satu-satu isu atau permasalahan, lebih-lebih lagi melibatkan soal kaum. Kadangkala isu yang kecil itu sengaja dicetuskan untuk mendapatkan perhatian,” katanya.

Justeru, katanya, masyarakat perlu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan puak-puak pelampau itu tidak mendapat tempat dalam usaha penyatuan negara yang dicintai ini.

“Mereka juga seharusnya tidak diberikan langsung ruang untuk menghasut, menyebarkan fahaman ekstremis serta menyampaikan mesej-mesej yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Jika kita tolak golongan ini dengan kita bersatu hati untuk mewujudkan suasana kondusif dan persekitaran yang lebih produktif, saya yakin, akhirnya kita boleh tewaskan golongan pelampau ini," ujarnya.

Beliau berkata, masyarakat hari ini perlu bijak menilai sekali gus mempunyai nurani yang lebih baik untuk membantu membina sebuah komuniti yang lebih berfikiran terbuka.

“Melibatkan diri dengan program ilmiah adalah perkara pertama yang boleh dibuat untuk membantu meneruskan legasi penyatuan kaum di negara ini.

“Kempen Uninstall Kebencian: Reboot Malaysia Harmoni yang dicetuskan Sinar Harian merupakan antara inisiatif yang wajar disokong dalam usaha kita untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Masyarakat juga diseru untuk turut menyumbang dalam usaha menjayakan kempen ini melalui pendapat, maklum balas serta perkongsian pengalaman mahupun cerita-cerita menarik yang akhirnya boleh membangkitkan lagi rasa kebersamaan kita sesama kaum di Malaysia,” katanya.