Menghargai peranan petugas belakang tabir

Celoteh Awal, Sherry dan Haziq dikatakan agak meleret namun ada sebabnya.
Celoteh Awal, Sherry dan Haziq dikatakan agak meleret namun ada sebabnya.
A
A
A

Pada malam Ahad lalu, saya telah berpeluang ke Axiata Arena Bukit Jalil bagi menonton persembahan secara langsung program wajib tahunan, Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bukan sekadar untuk menonton sebaliknya untuk belajar apa yang boleh dilihat dengan mata kasar sebagai penonton.

Memasuki edisi ke-34 penganjurannya, program itu dilihat sebagai acara wajib tahunan yang ditunggu-tunggu.

Banyak perubahan yang telah dilalui sehinggalah yang terbaharu dilihat program itu terpaksa mengimbangkan antara kualiti dan populariti.

Rating memainkan peranan pada masa kini yang perlu diambil kira kerana secara tidak langsung ia turut melibatkan wang.

Untuk menganjurkan apa sahaja acara semuanya memerlukan belanja yang besar. Apatah lagi bagi program berskala besar seperti AJL.

Justeru, penajaan diperlukan untuk merealisasikan program berprestij ini.

Sebagai penaja sudah pasti mereka mahu melihat rating. Secara ringkas apabila rating tinggi maka tinggi jugalah nilai yang mereka dapat dari segi tontonan.

Artikel Berkaitan:

Bermula daripada penajaan kemudian barulah dapat dibentuk konsep, tema dan sebagainya yang akhirnya dipersembahkan kepada khalayak seperti yang ditonton sama ada secara langsung di stadium, kaca TV mahupun YouTube.

Sebagai penonton, kita seolah sudah terbiasa memberi kritikan terhadap sesuatu program. Saya sendiri mengakui, kadangkala gatal sahaja tangan ini untuk mencoretkan sesuatu di laman media.

Inilah, itulah, sepatutnya begini, sepatutnya begitu dan banyak lagi komen-komen yang boleh membuatkan orang di belakang tabir jika tidak kuat akan membuatkan semangat menjadi lemah (Saya yakin mereka kuat).

Produksi

Saya tidak nafikan, ada komen yang membina dan berasas namun saya yakin pihak produksi juga sudah pastinya mempunyai sebab yang kukuh untuk membenarkan perkara tersebut berlaku.

Sebagai contoh, pada AJL ini, ketiga-tiga pengacara terlalu banyak berceloteh sehingga membuatkan penonton resah dan gelisah.

Namun, bagi yang berada di stadium sudah pasti dapat melihat cara petugas di belakang tabir bekerja. Para petugas pentas bertungkus-lumus memastikan props dan set up para artis menjadi kenyataan seperti yang telah diminta dan dipersetujui dalam perbincangan terdahulu.

Lebih utama, mereka juga perlu memikirkan soal keselamatan. Sebagai contoh, bayangkan ketika Hafiz Suip sedang membuat persembahan tiba-tiba salah satu props terjatuh. Sudah pasti perkara tersebut akan mengganggu penghayatan dan emosi Hafiz.

Justeru itulah, banyak masa yang perlu diambil untuk memastikan agar perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Di sinilah pentingnya peranan pengacara tersebut.

Itu baru satu isu, belum lagi isu-isu lain yang menjadi perbualan hangat di media sosial di bawah hashtag AJL34.

Bagi saya, apa yang telah kita tonton itu ada sebab-sebabnya yang telah dinilai dan diperhalusi oleh mereka yang berpengalaman.

Tahukah kita juga bahawa persiapan untuk menjayakan program ini bukan diambil dalam masa beberapa hari. Berbulan-bulan diperlukan untuk memerah idea agar ia menjadi kenyataan seperti yang digambarkan.

Inilah pentingnya peranan semua pihak. Daripada penerbit sehinggalah ke tukang sapu sampah, semuanya sama penting. Tanpa hasil kerjasama berpasukan ini, keajaiban tersebut tidak akan berlaku.

Sebagai antara individu yang pernah terlibat menganjurkan acara-acara hiburan seperti ini (tidak pernah sebesar AJL), saya melihat penganjuran AJL tetap terbaik setiap tahun dan perlu diteruskan walaupun saya yakin banyak halangan, rintangan, penat lelahnya.

Setiap pandangan daripada warganet yang membina kita ambil dan jadikan iktibar. Jika ada yang kurang bagus, boleh diperbaiki untuk jadikan ia lebih baik lagi.

* Meen Tahrin ialah Editor Unit Lifestyle Sinar Harian