Koronavirus: Bersama harungi detik kesukaran

A
A
A

Dalam jangka masa dua minggu lalu, saya sentiasa bimbang dengan keadaan wabak pneumonia koronavirus jenis baharu (NCP) di tanah air saya. Pada masa kini, sebanyak 1.4 bilion rakyat China bersama-sama memerangi wabak ini.

Ahli-ahli perubatan dari seluruh negara berkumpul di Hubei untuk menyediakan bantuan dan menawarkan rawatan, sepanjang hari siang dan malam. Semua rakyat berganding bahu dengan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penyebaran virus. Seluruh masyarakat bekerja bersama untuk melawan wabak NCP tanpa mengenal waktu.

Di sebalik setiap cerita itu adalah semangat patriotisme, keprihatinan serta tanggungjawab setiap orang China terhadap tanah air. Kehidupan kami yang aman dan damai adalah hasil kerja keras para perwira ini. Tanpa usaha mereka, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, kemungkinan besar keadaan wabak di China akan menjadi lebih teruk daripada sekarang.

Sejak kebelakangan ini, usaha untuk mengawal wabak NCP terbukti mula berkesan. Selain Hubei, kadar pertambahan kes disahkan dan kes disyaki di wilayah lain semakin perlahan selama empat hari berturut-turut, walaupun jumlah kes masih tinggi. Tambahan pula, jumlah kes sembuh terus meningkat, lebih 1,000 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Perkara itu menunjukkan kesan positif hasil daripada perjuangan melawan wabak. Oleh kerana kerjasama dan usaha kerajaan China untuk berkongsi maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain, sebanyak 99 peratus daripada lebih 30,000 kes positif di seluruh dunia adalah berlaku di China, kurang daripada 1 peratus berlaku di luar China.

Hal ini merupakan usaha kerajaan China mengambil tindakan serius untuk mengawal penyebaran wabak, dan rakyat China melakukan langkah kuarantin yang paling ketat. Usaha pihak China dipuji oleh WHO dan masyarakat antarabangsa. Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom, China telah menjadi model kepada seluruh dunia dalam menangani wabak itu.

Hari ini, seluruh 1.4 bilion rakyat China bersiap sedia untuk menyertai perjuangan melawan wabak NCP. Rakyat China bersatu padu, mengikut arahan yang diberikan oleh setiap peringkat kerajaan, membatalkan perhimpunan dan lawatan pada Tahun Baru China dan sentiasa tinggal di rumah. Rakyat China mengkuarantinkan diri sendiri kerana itulah cara yang paling efektif untuk menghalang penyebaran virus. Ini sudah tentu mengehadkan kebebasan pergerakan peribadi, menyebabkan kemerosotan aktiviti perdagangan dan ekonomi. Bagaimanapun, kerajaan dan rakyat China berjaya membuktikan kepada dunia bahawa demi kesihatan dan keselamatan rakyat, kami boleh!

Negara China melakukan usaha tersebut bukan hanya untuk dirinya sahaja, namun demi seluruh dunia. Dalam era globalisasi ini, virus boleh merebak dalam jangka masa singkat. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran virus adalah dengan memusnahkannya dalam negara China secepat mungkin.

Sejak berlakunya wabak NCP, kerajaan China telah mengambil segala langkah, termasuk berkongsi maklumat urutan genom (genome sequence) koronavirus dengan WHO dan negara-negara lain dalam minggu pertama wabak ini diketahui dan membatalkan semua kumpulan perjalanan keluar (outbound trip).

Salah satu langkah drastik yang diambil adalah perintah sekatan pengangkutan di berpuluh-puluh bandar termasuk Wuhan. Kami mengamalkan kepercayaan kepada falsafah ‘pengorbanan untuk yang lebih baik’ dalam kebudayaan China yang diwarisi turun-temurun. Semangat itu akan terus menggalakkan kerajaan dan rakyat China untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan memerangi wabak itu.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, sokongan dan bantuan daripada rakan-rakan di seluruh dunia juga memberi kami keyakinan bahawa kami mampu memenangi peperangan itu. Sehingga 5 Februari, sebanyak 21 negara dan organisasi antarabangsa termasuk Malaysia telah menyumbangkan sejumlah besar bekalan perubatan kepada China. Ramai kawan dari seluruh dunia juga aktif memberi sokongan yang tidak ternilai kepada China.

Saya amat terharu dengan keprihatinan dan sokongan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa jika pihak China memerlukan bekalan, Malaysia sudi menyediakan bekalan termasuk makanan, topeng muka dan sarung tangan ke kawasan wabak.

Dua minggu lepas, saya telah menghadiri majlis penyerahan sumbangan 18 juta sarung tangan perubatan dari Malaysia kepada Wuhan bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Rakan-rakan Malaysia menghantar video yang memberikan galakan untuk Wuhan. Saya telah menghantar video tersebut kepada rakan sekerja di China supaya lebih ramai rakyat China dapat melihat bahawa rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kami dalam masa yang sukar ini.

Perkara yang paling menyentuh bagi saya adalah rakan dan pertubuhan NGO Malaysia giat mengumpul penajaan dan bekalan untuk pihak China. Semasa saya memberikan penghargaan kepada seorang sahabat lama yang telah mendermakan bekalan perubatan, dia hanya berkata: “A small contribution in time of need.”

Waktu kesukaran mendedahkan erti sahabat sejati. Setiap sokongan dan bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia bersama kami dalam mengharungi detik kesukaran ini. Dengan penuh keikhlasan, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua rakan Malaysia yang telah memberikan sokongan kepada China dalam melawan wabak ini.

* Bai Tian ialah Duta Besar China ke Malaysia