Kes demam denggi di Pulau Pinang menurun

gambar hiasan.
gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat penurunan 85.84 peratus dengan hanya 182 kes direkodkan bagi tempoh awal Januari hingga 8 Februari lepas berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang mencatatkan 1,103 kes.

Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu kenyataan berkata, bagi tempoh sama, satu kematian demam denggi dilaporkan tahun ini berbanding empat kematian pada tahun 2019.

Menurutnya, ketika ini terdapat tiga lokaliti wabak terkawal iaitu daerah Timur Laut di Jalan Paya Terubong dan Taman Terubong Indah manakala di daerah Seberang Perai Tengah melibatkan Apartment Permata Zon A.

Katanya, terdapat satu lokaliti wabak hotspot iaitu di Apartment Taman Kristal di Daerah Timur Laut.

"JKNPP mengingatkan masyarakat agar terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghentikan penularan penyakit denggi iaitu melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenalpasti serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Mereka juga boleh mendapatkan ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk di klinik-klinik kesihatan kerajaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: