X

Kindly register in order to view this article
!

Buntu cari idea, pengarah Running Man undur diri

Jung Chul sudah lebih 10 tahun bersama selebriti Running Man. - Foto Soompi
A
A

SEOUL - Bertahan selama 10 tahun, penerbit dan pengarah program realiti terkenal Running Man, Jung Chul Min akhirnya mendedahkan buntu untuk mencari idea punca utama beliau nekad menarik diri daripada program tersebut.

Menerusi laporan Soompi, Jung Chul yang sudah mengendalikan program tersebut selama lebih 10 tahun menjelaskan kesihatannya tidak sebaik dahulu.

"Saya sudah menjadi penerbit dan pengarah selama lebih 11 tahun dan tujuh tahun bersama Running Man.

"Ditambah pula, kesihatan saya semakin tidak baik ketika ini terutama bahagian lutut yang menjadi faktor utama menjejaskan kesihatan," katanya.

Menggalas tugas sebagai penerbit dan pengarah bukan satu tugas mudah terutama dalam mengekalkan momentum program realiti yang terkenal seluruh dunia.

"Bukan kerja mudah untuk memerah idea baru bagi mencipta setiap cabaran untuk Running Man yang disiarkan saban minggu," katanya.

Buat masa ini, posisi Jung Chul bakal digantikan oleh pembantunya iaitu Choi Bo Pil.

Jung Chul bakal mengarahkan siri Running Man buat kali terakhir pada 18 Februari ini.

Running Man merupakan program realiti terkenal Korea Selatan dan turut mendapat sambutan baik seluruh dunia sejak ia mula ditayangkan pada 2010.

Program itu menampilkan lapan orang selebriti iaitu Yoo Jae Suk, Haha, Ji Suk Jin, Kim Jong Kook, Lee Kwang Soo, Song Ji Hyo, Jeon So Min dan Yang Se Chan.