Warga Singapura rempuh tujuh penunggang motosikal

Warga Singapura rempuh tujuh penunggang motosikal. Foto: Sumber Media Sosial
Warga Singapura rempuh tujuh penunggang motosikal. Foto: Sumber Media Sosial
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Terlanggar lopak jalan dipercayai punca sebuah kereta hilang kawalan lalu merempuh tujuh penunggang motosikal dalam satu kejadian di KM 5.2 Lebuhraya Link Kedua arah utara, Iskandar Puteri, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kesemua penunggang motosikal yang dirempuh kereta berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian kesemua penunggang motosikal itu sedang berteduh di bawah satu jambatan berhampiran kerana hujan lebat.

"Mengikut siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu warga Singapura berusia 52 tahun dari arah Singapura menghala ke Johor Bahru hilang kawalan.

"Kereta itu dipercayai hilang kawalan akibat melanggar lopak sebelum terbabas dan berpusing melanggar pembahagi tepi jalan sebelum merempuh tujuh motosikal yang berteduh di bawah jambatan itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, salah seorang daripada mangsa turut dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian muka.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, tiga lorong satu hala, garisan putih berkembar sebagai tanda pemisah jalan.

"Ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, enam buah kenderaan terbabit kemalangan itu membuat laporan polis dan dua lagi belum membuat laporan setakat ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.