Koronavirus: Tun M mahu tumpuan diberikan kepada industri terjejas

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu tumpuan diberikan kepada industri yang terjejas dengan wabak koronavirus dengan menangani isu aliran tunai operasi perniagaan dan inisiatif bagi menggalakkan perbelanjaan domestik.

Menurut satu kenyataan, Kementerian Kewangan sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian, agensi dan pihak industri serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat untuk mendapatkan input dalam perancangan pakej rangsangan ekonomi.

"Pengumuman mengenai pakej rangsangan ini akan dibuat dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bilangan 2/2020 di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu telah membincang secara khusus kesan penularan wabak koronavirus ke atas pertumbuhan ekonomi negara.

Antara sektor yang dikenalpasti mudah terkesan adalah sektor perkhidmatan seperti industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

Sehubungan itu, kerajaan sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan wabak tersebut.

Dalam pada itu, EAC turut turut membincangkan cadangan holistik pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip pembangunan inklusif.

"Antara isu utama yang dibincangkan adalah pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan ekonomi masyarakat orang asli.

Artikel Berkaitan:

"EAC telah bersetuju pelan tindakan yang lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu tersebut termasuk mendapatkan kerjasama semua kerajaan negeri," katanya.

Selain itu, EAC turut membincangkan cadangan ke arah pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang dan membangun secara inklusif.

"Cadangan ini seiring dengan perubahan landskap pasaran modal, teknologi kewangan dan ekspektasi pemain industri serta pelabur, pada masa yang sama mengukuhkan lagi aspek kawal selia dan asas institusi.

"Bagi merealisasi hasrat ini, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemaskan dengan lebih proaktif supaya semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal dan bank pusat serta pemain industri dapat bekerjasama dengan lebih erat," katanya.