X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Islam umum moratorium bagi pelanggan terjejas koronavirus

Mohd Muazzam (dua dari kanan) mengiringi Mujahid (dua dari kiri) melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Bank Islam hari ini mengumumkan moratorium sementara sehingga enam bulan untuk pembayaran pembiayaan bulanan bagi pelanggan atau perniagaan yang terjejas akibat koronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya mengikuti perkembangan semasa dan kebajikan serta kepentingan masyarakat sentiasa menjadi salah satu keutamaan Bank Islam.

"Oleh itu, kami akan mengambil tindakan proaktif dalam membantu pelanggan (yang terjejas akibat penyakit koronavirus) dan perniagaan kami untuk menangani masalah kewangan mereka.

"Kami berharap tawaran ini akan membantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan bulanan mereka dengan pilihan moratorium sehingga enam bulan ansuran," katanya kepada media hari ini.

Sebelum itu, Bank Islam melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji, hasil usaha sama dengan rakan strategiknya iaitu pihak Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Visa di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengurus Negara Kumpulan, Rantau Asia Tenggara Visa, Mandy Lamb dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Selain menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia, kad baharu dilancarkan itu juga dapat memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah haji ketika berada di Arab Saudi.

Mengulas lanjut mengenai kad itu, Mohd Muazzam berkata, misi utama Bank Islam adalah untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan bagi memenuhi keperluan setiap pihak berkepentingan.

Oleh itu, katanya, kerjasama strategik bersama Tabung Haji dan Visa adalah penting bagi memastikan bank itu dapat memberikan nilai tambah kepada golongan sasaran khasnya pendeposit Tabung Haji yang belum mempunyai akaun simpanan atau semasa Bank Islam.

Beliau berkata, Bank lslam mula memperkenalkan kad Debit-i Visa di pasaran pada 2011 dan setakat Januari 2020, Bank Islam mengeluarkan lebih daripada tiga juta kad debit di pasaran.

"Melihat kepada potensi pasaran memberangsangkan, Bank Islam berhasrat untuk mencapai 100,000 pemegang Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji ini dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji merupakan kad eksklusif yang menerapkan pelbagai ganjaran tambahan berbanding kad debit Bank Islam sedia ada," katanya selepas majlis pelancaran kad tersebut.

Bagi pendeposit Tabung Haji mereka boleh mengakses dana akaun masing-masing dengan menghubungkan akaun Tabung Haji dengan kad tersebut dan membuat pemindahan daripada akaun berkenaan ke akaun simpanan atau semasa Bank Islam yang telah dibuka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!