Beli tiket penerbangan guna FPX

Yin May (dua dari kanan) bersama Ah Lek (tiga dari kiri), Izham (tiga dari kanan) dan Peter (kiri) ketika pengumuman kerjasama antara Malaysia Airlines dan peraduan Travel and Win with FPX di Akademi MAB 3 Februari lalu.
Yin May (dua dari kanan) bersama Ah Lek (tiga dari kiri), Izham (tiga dari kanan) dan Peter (kiri) ketika pengumuman kerjasama antara Malaysia Airlines dan peraduan Travel and Win with FPX di Akademi MAB 3 Februari lalu.
A
A
A

KELANA JAYA - Pelanggan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) kini boleh membeli tiket penerbangan menggunakan dana dalam akaun semasa dan akaun simpanan serta kad kredit Public Bank (PBB) dan Public Islamic Bank (PIBB) secara dalam talian menggunakan FPX yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Kerjasama yang memberi penyelesaian pembayaran dalam talian dengan mudah dan selamat itu turut dimeterai Malaysia Airlines dengan 29 bank FPX lain di seluruh negara.

Ketua Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, Malaysia Airlines berbangga dapat bekerjasama dengan Public Bank dan PayNet untuk menawarkan kepada pelanggan cara mudah untuk membeli tiket penerbangan secara dalam talian dan aplikasi telefon mudah alih melalui FPX.

"Kerjasama ini membuktikan komitmen Malaysia Airlines ke arah meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pengenalan pilihan pembayaran yang mudah.

"Pelanggan juga boleh memilih untuk membayar dengan FPX tanpa dikenakan apa-apa caj perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Akademi MAB di sini 3 Februari lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad, Tan Sri Tay Ah Lek; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Peter Schiesser.

Yin May berkata, kerjasama itu selaras dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk beralih daripada pembayaran secara manual kepada e-Pembayaran.

Sementara itu, Ah Lek berkata, melalui kerjasama sinergistik itu, Public Bank komited untuk menyokong Malaysia Airlines Berhad bagi memudahkan pengembara membuat tempahan tiket penerbangan melalui proses yang mudah dan atas dasar masa nyata.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Public Bank merupakan bank pertama di negara ini yang melancarkan Standard QR Malaysia yang dikenali sebagai Duitnow QR dengan PayNet.

"Bank sedang berusaha untuk membawa lebih banyak penyelesaian pembayaran yang inovatif kepada pelanggan runcit dan perniagaan kami," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Peter berkata FPX memproses sebanyak 236 juta transaksi pada 2019, manakala saudagar dalam talian mengutip pembayaran berjumlah RM117 bilion melalui FPX, menjadikan Malaysia gerbang pembayaran dalam talian masa nyata terhebat bagi laman e-perdagangan.

Malaysia Airlines Berhad sedang menganjurkan peraduan Travel and Win with FPX bermula 30 Januari hingga 29 Februari 2020 yang membolehkan pelanggan memenangi dua tiket kelas Perniagaan Malaysia Airlines ke London dengan penginapan hotel percuma selama 7 hari/6 malam sumbangan MHholidays berserta 80,000 mata ganjaran Enrich Miles.

Hadiah-hadiah lain termasuk dua tiket kelas Ekonomi dan penginapan di hotel di Sydney dan Bali serta mata ganjaran Miles.

Pelanggan turut berpeluang memenangi sehingga 11,000 mata ganjaran Enrich Miles.

Program Loyalty Malaysia Airlines, Enrich, juga memberi dua hadiah harian kepada individu yang berbelanja paling banyak.

Untuk layak menyertai peraduan berkenaan, pelanggan perlu berbelanja minimum sebanyak RM100 untuk membeli tiket penerbangan, atau tambahan lain melalui laman web dan aplikasi Malaysia Airlines melalui gerbang FPX.

Pelanggan juga perlu mendaftar menjadi ahli Enrich untuk layak menyertai peraduan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan pemastautin di Malaysia yang mempunyai akaun bank tempatan itu.

Terma dan syarat diterima pakai serta maklumat lanjut mengenai peraduan itu boleh didapati di www.malaysiaairlines.com/my/en.html.