Padi terjejas diserang penyakit

Mohd Bukhari (tiga dari kiri) meninjau kawasan Pusat Belian Padi Parit 12, Bagan Terap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin PPK Sungai Besar hari ini.
Mohd Bukhari (tiga dari kiri) meninjau kawasan Pusat Belian Padi Parit 12, Bagan Terap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin PPK Sungai Besar hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor akan mengetengahkan masalah dihadapi pesawah di beberapa kawasan di negeri itu berikutan tanaman padi diserang penyakit karah tangkai hingga menjejaskan hasil tanaman.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor, Mohd Bukhari Bachok berkata, perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan susulan.

"Biasanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ada ruang membantu pesawah terjejas akibat bencana seperti banjir dan musim kemarau.

"Saya ingin melihat ruang bagaimana kementerian boleh membantu pesawah yang mengalami pengurangan hasil pengeluaran disebabkan masalah serangan ancaman penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar di Dewan Tertutup Wisma PPK Sungai Besar di sini hari ini.

Mohd Bukhari berkata, sehingga kini terdapat seramai 3,400 pesawah di Sungai Besar.

"Rata-rata pesawah terjejas akibat serangan karah tangkai hanya memperoleh empat metrik tan sehektar pada musim tanaman kali ini.

"Pengeluaran ini dianggap rendah berbanding pengeluaran hasil pada musim tanaman sebelumnya hingga mengakibatkan pesawah terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, serangan karah tangkai dipercayai berlaku disebabkan terdapat pesawah yang menggunakan padi tidak sah hingga menjejaskan mutu tanaman.

"Benih padi tidak berdaftar yang ditanam boleh mengakibatkan penularan masalah tersebut.

"Pesawah perlu memastikan mereka menggunakan benih padi sah kerana mempunyai kawalan dan kualiti yang telah ditetapkan pihak kerajaan," katanya.