Wanita main peranan penting perangi rasuah: Wan Azizah

Wan Azizah dan Latheefa (kanan) melihat baju cenderamata untuk jualan sempena APEC 2020 semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Simposium Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM) hari ini. Foto: Bernama
Wan Azizah dan Latheefa (kanan) melihat baju cenderamata untuk jualan sempena APEC 2020 semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Simposium Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menonjolkan peranan penting dimainkan wanita dalam membantu usaha kerajaan untuk memerangi rasuah di negara ini.

Beliau berkata, menerajui usaha memerangi rasuah ialah Latheefa Koya yang kini ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Di Malaysia, saya dengan penuh rasa bangga ingin kongsikan bahawa kita mempunyai tiga wanita pemberi maklumat daripada Jabatan Ketua Audit Negara yang wajar dicontohi,” katanya semasa merasmikan Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasakan Wanita bagi Memerangi Rasuah di sini.

Mereka ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengarah Prestasi Audit Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan Pengarah Audit Datuk Nor Salwani Muhammad.

"Ketiga-tiga wanita ini merupakan saksi utama SPRM dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pewujudan ruang yang jelas bagi pemberi maklumat dan ruang selamat untuk wanita melaporkan rasuah dengan saluran untuk menangani sebarang insiden merupakan tunjang kepada usaha dan inisiatif itu.

“Soalan yang lebih mendalam yang perlu ditanya adalah adakah kita telah melakukan yang terbaik untuk memastikan wanita daripada semua lapisan masyarakat mempunyai keupayaan untuk berada di barisan hadapan dan menjadi tonggak dalam masyarakat kita untuk memerangi rasuah,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyentuh secara panjang lebar tentang kesan teruk rasuah terhadap wanita, bagaimana wanita boleh memainkan peranan aktif dalam memerangi rasuah dalam masyarakat dan peranan APEC dalam memperkasakan wanita untuk memerangi rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Cara pertama untuk memerangi sebarang bentuk rasuah adalah dengan membina ekosistem, antaranya dari segi hak orang ramai untuk akses kepada maklumat, kebebasan bersuara, perlindungan undang-undang, mewujudkan mekanisme untuk melaporkan rasuah, penerimaan aduan dan mewujudkan undang-undang pencegahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan komited untuk membanteras rasuah dan usaha mereka telah membuahkan hasil.

“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 meningkat 10 mata tangga ke tempat 51 berbanding pada tahun sebelumnya.

“Kita (Malaysia) mencatatkan 53 mata berbanding 47 mata dalam indeks 2018. Naik lebih tiga mata dianggap satu peningkatan signifikan,” kata Dr Wan Azizah.

Menyentuh peranan media, beliau berkata media yang bebas dan bertanggungjawab perlu dibenarkan untuk menyiasat, melaporkan dan menerbitkan berita tentang rasuah.

“Malaysia telah mencatatkan pencapaian positif dalam kebebasan media dan kami sedang mendraf rang undang-undang bagi penubuhan Majlis Media Kebangsaan untuk meningkatkan lagi integriti dan kebebasan media kita,” katanya.

Simposium itu diadakan bersempena dengan mesyuarat pegawai kanan dan mesyuarat berkaitan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan Malaysia. - Bernama