16 lokasi pelancongan boleh ancam nyawa

Azmi (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan Perbarisan Kehormat pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Perak 2020 di Ibu Pejabat JBPM Bandar Meru Raya hari ini.
Azmi (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan Perbarisan Kehormat pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Perak 2020 di Ibu Pejabat JBPM Bandar Meru Raya hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti 16 lokasi tumpuan pelancongan yang tidak dilengkapi dengan fasiliti keselamatan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, rondaan dan kajian di lokasi antaranya Tasik Cermin, Kapal Korek Tanjung Tualang, Burmese Pool, Tasik Banding dan Air Terjun Batu Berangkai adalah berisiko tinggi.

“Lokasi-lokasi ini boleh mengancam nyawa berdasarkan analisa Majlis Keselamatan Aktiviti Air. Tinjauan mendapati sebahagian lokasi tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

“Contohnya Tasik Cermin, lokasi berkenaan sempit dan mempunyai rakit yang tiada langsung ciri keselamatan. Aspek ini perlu dilihat demi keselamatan pengunjung yang datang untuk bergambar, mereka mungkin boleh terjatuh dalam tasik tersebut,” katanya sempena Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Perak 2020 di Ibu Pejabat JBPM Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah mula menjalankan kempen keselamatan dengan berkolaborasi bersama pihak terlibat selain memasang papan tanda awal keselamatan untuk perhatian pengunjung.

“Walaupun tiada kes kematian dicatatkan, perbincangan telah dijalankan bersama pihak terbabit serta pengusaha untuk sediakan kemudahan.

“Kita turut menasihatkan kepada pengunjung untuk mengambil langkah awal keselamatan ketika berada di lokasi yang masih belum dimajukan,” katanya.

Selain itu, Azmi berkata, lawatan di kawasan tapak pelupusan sampah akan dilakukan bagi menangani kebakaran sebagai salah satu langkah ketika berhadapan cuaca panas pada Mac ini.

Artikel Berkaitan:

“Nasihat turut diberikan kepada pengendali, pengusaha atau pemungut barangan terpakai agar tidak memulakan sumber nyalaan.

“Lokasi telah dikenal pasti adalah di bawah kendalian 15 balai bomba. Kebakaran di lokasi ini akan merugikan kos kerajaan selain ia menjejaskan kesihatan,” katanya.