Najis tikus bersepah, pekerja berkuku panjang

Pemeriksaan dapati kuku pekerja panjang dan najis yang ditemui di celah kotak simpan barang memasak.
A
A

BANTING - Najis tikus bersepah di kotak penyimpanan barang memasak, pekerja berkuku panjang, tidak pakai penutup kepala serta apron.

Itu penemuan hasil serbuan dan pemeriksaan mengejut dilakukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di beberapa restoran sekitar Jenjarom dan pekan Banting di sini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, dalam pemeriksaan itu pengusaha premis makanan juga didapati gagal memastikan pekerja mengambil suntikan kesihatan, menggunakan kertas bercetak tidak dibenarkan, gagal menyelenggara peti sejuk malah membiarkan lantai, dinding serta tandas kotor serta tidak dicuci mengikut jadual.

Menurutnya, disebabkan gagal mematuhi peraturan, premis terbabit disita dan diarah melakukan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dengan kadar segera.

"Hasil pemeriksaan, pemilik premis didapati tidak titikberatkan aspek kebersihan seperti ditetapkan dalam syarat lesen. Pemilik juga didapati gagal pasang perangkap minyak hingga sisa minyak dan makanan terus masuk ke dalam longkang.

"Premis ini dikenakan tindakan Notis Perintah Tutup selama 14 hari bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dengan kadar segera di bawah bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007," katanya.

Terdahulu, beliau berkata MDKL menyita tiga restoran di Taman Seri Jaromas, Jenjarum dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau berkata, pengusaha didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen papan iklan dan permit kaki lima; tidak mempamerkan tanda harga minuman; tiada suntikan kesihatan dan tidak memasang perangkap minyak hingga menyebabkan sisa minyak masuk ke dalam longkang.

Beliau berkata, pemilik juga didapati tidak memiliki lesen perniagaan serta meletakkan kerusi dan meja hingga menyebabkan halangan awam.

Dalam serbuan sama katanya, KPDNHEP melakukan sitaan ke atas minuman tin di premis tersebut kerana tidak mempamerkan tanda harga.

"JAIS juga melakukan semakan dan memberikan penerangan mengenai tanda sijil halal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MDKL, Syamsol Herwan Ahmad yang turut menyertai pemeriksaan, berkata pihak MDKL kini giat menjalankan pengedaran risalah mengenai penyediaan tong sampah MGB 120 liter kepada semua peniaga di daerah ini dengan di dahului oleh pekan Banting.

"Ini bagi galakkan peniaga sediakan dan lupuskan sampah domestik di tempat dibenarkan sahaja berkuat kuasa dari tarikh notis diterima dalam tempoh seminggu.

"Sekiranya peniaga tidak patuh arahan ditetapkan, peniaga boleh dikenakan tindakan kompaun dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau tindakan pendakwaan di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM2,000 sehingga tahap lesen boleh dibatalkan oleh pihak MDKL," katanya.