Muafakat Nasional persiap gerak kerja hadapi PRU15

Tuan Ibrahim (dari kiri) dan Mohamad serta pemimpin UMNO dan Pas hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional di PWTC malam tadi.
Tuan Ibrahim (dari kiri) dan Mohamad serta pemimpin UMNO dan Pas hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional di PWTC malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas menubuhkan jawatankuasa pelaksana dan penyelaras Muafakat Nasional di peringkat negeri serta bahagian sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

"Kita juga membincangkan mengenai penubuhan sekretariat bersama. Kita telah dapat tempat dan kakitangan yang bekerja sepenuh masa untuk mengurus sekretariat ini

"Muafakat Nasional perlu bersedia jika kemungkinan PRU15 dilaksanakan lebih awal," katanya kepada media selepas tamat mesyuarat berkenaan di sini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Pas pula diwakili Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Penerangan Pas, Kamarulzaman Ahmad dan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Selain itu katanya, mesyuarat turut membincangkan hala tuju Muafakat Nasional dan melihat sejauh mana program yang dirancang dapat dilaksanakan.

"Satu program retreat disertai pemimpin tertinggi UMNO dan Pas akan dilaksanakan bagi memperkemaskan kerjasama tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO dan Pas tidak pernah membincangkan mengenai penubuhan Pakatan Nasional.

“Pakatan Nasional itu apa? Tak tahu pula saya, tak pernah bincang pasal Pakatan Nasional, kita Muafakat Nasional,” katanya.

Pada 14 September lalu, UMNO dan Pas mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia majmuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama

'Muafakat Nasional alternatif terbaik ganti PH'

Pada tarikh berkenaan, Piagam Muafakat Nasional ditandatangani Ahmad Zahid dan Abdul Hadi di Dewan Merdeka, PWTC sempena Himpunan Penyatuan Ummah.

Piagam tersebut menggariskan enam hasrat utama merangkumi akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Muafakat Nasional juga merupakan manifestasi kerjasama antara dua perikatan parti politik di Malaysia iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera.