'Bukan cuci, tapi buang sudu atas jalan'

Abdul Wahith (kanan) melihat kerja-kerja membuang sudu berkarat oleh seorang pekerjanya di premis di Seksyen 7 hari ini. Kiri, Gambar yang tular di laman sosial mendakwa pekerja premis mencuci sudu di atas jalan di lorong belakang.
Abdul Wahith (kanan) melihat kerja-kerja membuang sudu berkarat oleh seorang pekerjanya di premis di Seksyen 7 hari ini. Kiri, Gambar yang tular di laman sosial mendakwa pekerja premis mencuci sudu di atas jalan di lorong belakang.
A
A
A

SHAH ALAM - Kecoh seketika apabila tular beberapa gambar memaparkan tindakan seorang pekerja kedai mamak terkenal, Restoran Khulafa yang sedang mencuci sudu atas jalan di belakang premis tersebut di Seksyen 7, di sini, semalam.

Ekoran itu, ramai pelanggan tetap serta netizen di laman sosial yang memberi komen negatif termasuk mengecam pemilik premis terbabit.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan pemilik premis yang menyifatkan tindakan penyebar gambar itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Khulafa Sdn Bhd, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin, 61, memberitahu, beliau kesal dengan perbuatan penyebar gambar itu yang tidak membuat pengesahan terlebih dahulu.

Beliau berkata, perkara sebenar yang berlaku adalah pekerjanya itu sedang membuat pembersihan dan baru mengeluarkan beberapa peralatan memasak termasuk sudu daripada stor.

Katanya, pekerja terbabit bukan mencuci sudu atas jalan tetapi sedang membuang sudu yang berkarat dan beberapa perkakas lain seperti periuk, pinggan yang sudah tidak boleh digunakan.

"Mungkin individu yang ambil gambar itu salah sangka dan terus ambil gambar sebelum tularkannya.

"Saya ada lapan premis dan dah usahakan perniagaan ini sejak 38 tahun lalu.... pelanggan sepatutnya boleh nilai dan lihat cara kerja kami yang sememangnya beroperasi mengikuti piawaian syariah termasuk mematuhi aspek kesihatan ditetapkan," katanya kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Abdul Wahith berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling yang melakukan pemeriksaan ke atas premisnya hari ini turut berpuas hati dengan cara premis ini diuruskan.

"Mereka puas hati sebab premis bersih dan kita ikut syarat yang mereka tetapkan, malah mereka beri Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan Gred A lagi.

"Dengan itu segala kecaman dan tuduhan dilemparkan terbukti sama sekali tidak benar. Saya maafkan perbuatan penyebar tetapi sepatutnya mereka lebih bertanggungjawab kerana impak kejadian ini boleh menutup pintu rezeki saya, " katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim serta MBSA turut membuat pemeriksaan di premis selepas menerima aduan mengenai perkara itu.

Khalid berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati premis bersih dan peratusan pemarkahan diberi juga sebanyak 91.8 peratus.

Katanya pemeriksaan di premis semalam juga mendapati tiada aktiviti membasuh sudu seperti yang ditularkan.

"Semakan kita juga menunjukkan pekerja premis menerima suntikan dan menjalani kursus pengendalian makanan seperti ditetapkan.

"Bagaimanapun, satu kompaun dikenakan di bawah notis kesalahan 32B bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 kerana tidak melabelkan bekas ramuan makanan," katanya.

Sementara itu, MBSA hanya mengeluarkan notis penggunaan lorong belakang kepada pemilik premis bagi memastikan tiada aktiviti penyediaan makanan dilakukan di kawasan lorong belakang mengikut undang-undang kecil pelesenan, tred, perniagaan, perindustrian MBSA 2007.

Pemantauan berterusan ke atas premis-premis makanan akan terus dilakukan oleh MBSA dari masa ke masa.