Lelaki basuh taman permainan elak koronavirus

Kenyataan Mustaqim menarik perhatian netizen dan berharap lebih ramai tampil melakukan perkara seperti itu.
Kenyataan Mustaqim menarik perhatian netizen dan berharap lebih ramai tampil melakukan perkara seperti itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika penularan wabak koronavirus mencetuskan kebimbangan, seorang lelaki mengambil langkah pencegahan wabak berkenaan di taman permainan kanak-kanak di sekitar Bukit Jelutong U8 di sini.

Meskipun tindakannya mendapat ejekan dan usikan daripada masyarakat, Mustaqim Kumar Abdullah Sooria tidak mengendahkan, sebaliknya terus membasuh peralatan permainan kanak-kanak tersebut.

"Pagi tadi ramai orang ketawa dengan saya sebab basuh taman permainan kanak-kanak di sekitar kawasan Bukit Jelutong U8.

"Tahukah anda kenapa saya basuh taman permainan kanak kanak?

"Virus corona (koronavirus) telah menyerang ribuan orang di pelbagai negara dan negara mereka menelan ratusan korban jiwa," ujarnya.

Perbuatannya itu dianggap seperti pertolongan kecil untuk mencegah wabak tersebut menular di negara ini yang boleh mengakibatkan kanak-kanak turut menghidapinya.

"Saya buat secara sukarela dengan niat membantu masyarakat di kawasan Bukit Jelutong supaya kita jangan pandang rendah kepada wabak koronavirus," katanya.

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya memuji tindakannya dan menzahirkan ucapan terima kasih.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua patut buat sesuatu untuk masyarakat, terbaik!" kata Respal Sidhu.

Bashari Ahmad pula pula menyifatkan kerja mulia lahir daripada insan berhati emas.

"Hanya ALLAH yang mampu memberikan ganjaran dari usaha murni ini. Tabik spring bang," katanya.

Ujar Yeyn pula, "Ramai orang ketawakan encik tapi lebih ramai yang mendoakan encik. Semoga sentiasa dalam lindungan ALLAH. Aamin..."