Jabatan Perkhidmatan Veterinar siasat kes anjing didakwa diracun

A
A

PORT DICKSON - Polis telah menghentikan siasatan berhubung kes anjing yang dipercayai diracun di Taman Lavender Height, Seremban dan siasatan kini diteruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, polis menghentikan siasatan selepas pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan itu.

“Veterinar akan sambung siasatan berdasarkan akta di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Negeri Sembilan dan PERKEP Port Dickson di sini, hari ini.

Turut hadir Chef Selebriti jemputan Datuk Fazley Yaakob yang turut mengadakan demonstrasi masakan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anjing mati, tiada kaitan dengan masjid]

Baru-baru ini, tular dalam laman sosial media Facebook berhubung beberapa ekor anjing yang ditemui mati di kawasan perumahan Taman Lavender Height yang dipercayai mati akibat diracun.

Dalam perkembangan lain, Noor Azam mengesahkan beliau akan bertukar ke Selangor sebagai Ketua Polis Selangor, namun tidak menjelaskan tarikh pertukaran itu.

Mengenai program hari ini, ia dianjurkan bertujuan mengukuhkan lagi ukhwah silaturrahim antara warga PERKEP Port Dickson dan mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan semua anggota PERKEP. - Bernama