Filem tonjol keperwiraan tentera

A
A
A

SETELAH 27 tahun berlalu, kisah keberanian tentera Malaysia yang terlibat dalam pertempuran di Pasar Bakara, Mogadishu pada 3 Oktober 1993 semasa misi Operasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Somalia II (UNOSOM II) akhirnya difilemkan.

Filem bertajuk Bakara diterbitkan dengan kerjasama Tentera Darat itu mendapat sentuhan pengarah Adrian Teh yang mencipta nama menerusi filem terdahulunya, Paskal The Movie dan Wira.

Bakara akan memulakan pengambaran Jun ini dan tayangannya dijangka pada tahun hadapan difahamkan memilih Turki sebagai lokasi pengambaran selain dalam Malaysia dengan kos kira-kira RM20 juta.

Banyak telah diceritakan mengenai pertempuran di Pasar Bakara itu yang mengorbankan seorang anggota tentera, 10 cedera termasuk empat parah manakala empat buah kenderaan perisai dimusnahkan musuh.

Pertempuran Bakara berlaku apabila Markas UNOSOM II memohon bantuan tentera Malaysia untuk menyelamatkan kira-kira 70 orang tentera elit Renjer Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap selepas misi bersendirian menangkap dua orang kanan Jeneral Mohamed Farrah Aidid gagal.

Dua helikopter UH-60 Blackhawk ditembak jatuh oleh militia Aidid yang kemudian mengerumuni lokasi nahas. Misi itu turut melibatkan anggota pasukan khas AS, Delta Force.

Konvoi 32 kenderaan perisai pengangkut infantri RPZ Condor yang membawa 114 anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanis telah bertempur selama kira-kira lima jam bermula jam 11 malam.

Keperwiraan yang mereka pamerkan telah membuka mata tentera negara asing. Ia juga merupakan pertempuran kali pertama tentera Malaysia dalam kawasan urban.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Hollywood, Ridley Scot telah mengangkat misi Operasi Gothic Serpent yang gagal itu ke layar perak menerusi adaptasi daripada buku Black Hawk Down tulisan wartawan Mark Bowden.

Wartawan The Philadelphia Inquerier itu menulis buku tersebut hasil penyelidikan rekod tentera, video dan temubual bersama veteran. Buku itu diterbitkan pada tahun 1999.

Banyak pihak di negara kita mengkritik filem Black Hawk Down yang ditayangkan pada tahun 2001 kerana tidak memberikan gambaran sebenar berhubung peranan tentera Malaysia yang menyelamatkan renjer AS ketika itu.

NasionalismeHakikatnya, filem tersebut dihasilkan bagi mengangkat sisi keperwiraan tentera AS oleh pengarahnya manakala penglibatkan tentera Malaysia pula dianggap plot kecil dalam keseluruhan filem.

Ramai yang tidak tahu sebenarnya sebuah buku menceritakan keperwiraan tentera Malaysia itu telah dihasilkan pada tahun 1995 oleh seorang pegawai tentera, Mejar Syed Omar Syed Othman berjudul 19 RAMD Mekanis di Somalia.

Ia merupakan catatan paling lengkap mengenai pertempuran di Pasar Bakara melibatkan pasukan tersebut.

Malangnya, satu kerugian apabila buku itu tidak dipasarkan dengan baik menyebabkan tidak ramai yang berpeluang untuk membacanya.

Menghasilkan filem ketenteraan tidak semestinya wajib mengangkat kisah pertempuran atau peperangan bagi menampilkan unsur keberanian dan patriotik. Filem Pasukan Garuda, I Leave My Heart In Lebanon arahan Benni Setiawan, misalnya, boleh dicontohi.Ia mengisahkan pasukan pengamanan Indonesia menerusi lakonan Rio Dewanto sebagai Kapten Satria. Tidak banyak aksi tempur sebaliknya mengangkat cerita hubungan sesama manusia dengan latar misi di Lubnan.

Bagaimanapun, ia berjaya meniup semangat nasionalisme serta keperwiraan bagi mereka yang bercita-cita menjadi tentera.

Karyawan Malaysia juga boleh menujukkan kreativiti sama. Ini kerana selepas 13 tahun terbabit dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia tidak tahu Harimau Malaysia bertugas di sana.

Sepanjang tempoh itu, belum ada sebuah filem diterbitkan bagi menonjolkan penugasan tentera Malaysia di sana yang sebenarnya berhadapan dengan risiko berada di zon konflik.

*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu