Saman terhadap ibu bapa antivaksin

A
A
A

KES polio telah kembali ke Malaysia setelah 27 tahun negara kita bebas virus tersebut. Hujung tahun lalu, telah dilaporkan bahawa virus polio telah menjangkiti seorang kanak-kanak di Tuaran, Sabah.

Kemudian, dua lagi kes jangkitan dilaporkan pada awal tahun ini yang turut berlaku di Sabah.

Biarpun kes polio tersebut dikatakan bukan berlaku disebabkan gerakan antivaksin yang semakin meningkat naik di negara ini, tetapi bolehkah anda mengambil tindakan jika anak anda dijangkiti virus-virus tertentu yang boleh dicegah melalui vaksin (seperti virus polio) akibat kegagalan pihak ibu bapa kanak-kanak lain yang enggan memberi vaksin anak-anak mereka.

Kes saman seperti itu masih belum pernah dilakukan oleh sesiapa di negara ini. Tetapi, saya berpandangan bahawa ia boleh dilakukan dan tidak mustahil.

Seperti yang kita sedia maklum, buat masa ini, tiada lagi apa-apa peruntukan undang-undang di negara ini yang mewajibkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

Oleh itu, disebabkan ketiadaan undang-undang seperti ini, maka gerakan antivaksin dalam kalangan ibu bapa semakin meningkat dan mendedahkan ramai kanak-kanak kepada bahaya pelbagai jangkitan virus.

Secara kasarnya, saya berpandangan bahawa tindakan saman tort kecuaian boleh dilakukan terhadap ibu bapa antivaksin yang enggan memberi vaksin anak-anak mereka sehingga akhirnya menjangkiti anak-anak anda.

Dalam erti kata ini, disebabkan oleh anak anda sakit akibat dijangkiti oleh anak-anak antivaksin, maka anda wajar diberikan hak untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana kecuaian untuk menjaga kebajikan dan kesihatan anak-anak mereka hingga menjangkiti anak-anak orang lain.

Artikel Berkaitan:

Namun, dalam pembuktian kepada saman tort kecuaian ini, kita perlu buktikan bahawa wujud kegagalan di pihak ibu bapa antivaksin untuk memberi vaksin anak-anak mereka sehingga menjangkiti anak-anak kita.

Pada pandangan saya, kegagalan ibu bapa antivaksin dalam memberi vaksin anak-anak mereka merupakan satu bentuk kegagalan mereka dalam menjalankan tanggungjawab agar tidak membahayakan kanak-kanak lain. Ia sama konsepnya seperti kuarantin akibat penyakit tertentu.

Jika pada dasarnya seseorang itu perlu dikuarantinkan kerana penyakit yang dihidapi boleh menjangkiti orang lain, seseorang itu mempunyai tanggungjawab untuk tidak ke kawasan awam yang boleh menyebabkan orang lain turut tidak dijangkiti.

Dalam undang-undang tort kecuaian, satu elemen utama akan diambil kira oleh mahkamah iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care) oleh para ibu bapa agar sentiasa memberi vaksin anak-anak mereka dan tidak membawa risiko jangkitan kepada orang lain terutamanya kanak-kanak. Jika kewajipan berjaga-jaga ini tidak dilaksanakan, maka saman tort kecuaian berpotensi untuk dilakukan.

Namun, berbicara mengenai hal ini lebih mudah berbanding untuk membawa kes ini di mahkamah. Memandangkan tiada duluan (precedent) dalam saman berkenaan antivaksin itu, sememangnya amat sukar untuk tugas itu dilakukan di mahkamah, walaupun tidak mustahil.

Kesukaran utama ialah kita perlu meyakinkan mahkamah bahawa kanak-kanak yang tidak divaksinkan itu adalah penyebab kepada penyakit atau jangkitan yang dialami oleh anak-anak anda.

Jika anak anda dijangkiti satu penyakit yang boleh tetapi sukar dielak dengan vaksin seperti tetanus, sudah tentu agak sukar untuk membuktikan kepada mahkamah anak-anak kepada ibu bapa antivaksin yang menjadi penyebabnya.

Dalam kes jangkitan tetanus itu, tetanus boleh dijangkiti melalui bakteria yang terkandung dalam udara atau persekitaran sekeliling kita dan tidak semestinya daripada orang lain yang mempunyai penyakit.

Tidak kira betapa ramai di persekitaran kita yang divaksinkan terhadap tetanus, anda masih berkemungkinan terdedah dengan jangkitan tersebut.

Kerajaan bercadang menggubal undang-undang yang mewajibkan ibu bapa memberi vaksin anak-anak mereka. Diharap perkara itu boleh dipercepatkan.

*Haeme Hashim ialah peguam di Haeme Hashim & Co.