Koronavirus: Harga sekotak topeng muka lebih mahal daripada emas

Harga bagi sekotak topeng muka N95 3M yang dijual di Pasar Pramuka, Jakarta naik tujuh kali ganda. - Foto Agensi
Harga bagi sekotak topeng muka N95 3M yang dijual di Pasar Pramuka, Jakarta naik tujuh kali ganda. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Harga sekotak topeng muka buat kali pertamanya lebih mahal daripada nilai satu gram emas, menurut seorang peruncit.

Untuk sekotak yang mengandungi 20 keping topeng N95 3M di Pasar Pramuka, pasar terbesar untuk jualan peralatan farmaseutikal dan peralatan perubatan lain di ibu negara, ia meningkat tujuh kali ganda kepada kira-kira AS$150 (RM622.22).

Menurut laporan Straits Times, harga bagi satu gram emas di Indonesia buat masa ini ialah 800,000 rupiah (RM241.72).

Kenaikan harga itu berlaku meskipun pada hakikatnya negara dengan populasi penduduk lebih 260 juta orang itu tidak mencatatkan sebarang kes koronavirus.

Permintaan yang melonjak telah menyebabkan banyak farmasi di ibu negara kehabisan stok.

Harga bagi 50 keping atau sekotak topeng pembedahan tiga lapisan pula mencecah 275,000 rupiah (RM83.10) di mana biasanya ia dijual sekitar 30,000 rupiah (RM9.06) sekotak.

Susulan itu, Yayasan Pengguna Indonesia (YLKI) mengkritik kerajaan kerana tidak melakukan apa-apa tentang situasi tersebut selain menggesa Suruhanjaya Penyeliaan Persaingan Perniagaan (KPPU) untuk menyiasat perkara itu.

"Kami menggesa KPPU dan polis untuk mengambil langkah tegas bagi menghentikan mana-mana pihak yang bertindak secara tidak bertanggungjawab," kata Pengerusi YLKI, Sudaryatmo.

Artikel Berkaitan:

Sudaryatmo berkata, kerajaan perlu bertindak dan menetapkan harga siling 30 peratus melebihi harga biasa.

Seorang peruncit memberitahu, pembekal kini hanya membenarkan dia mengambil antara lima dan 10 karton topeng muka berbanding 50 karton yang biasa diambil sebelum ini.

"Pemborong beritahu saya, mereka terpaksa memenuhi tempahan dari luar negara, China dan Jepun," kata Aini.

Katanya lagi, pencuci tangan juga menyaksikan jualan tinggi dengan sebotol 500ml produk itu kini dijual pada harga 80,000 rupiah (RM24.24), naik daripada harga kebiasaan 45,000 rupiah (RM13.60).

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Indonesia meletakkan jumlah kes disyaki dijangkiti koronavirus sebanyak 62, namun 59 daripadanya negatif wabak tersebut.

Setakat ini, koronavirus mencatatkan 910 kematian dan 40,627 kes yang disahkan di dalam dan luar China. - Agensi