DOJ latih hakim Malaysia kendali jenayah moden

Richard Malanjum
Richard Malanjum
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim dan pegawai kehakiman Malaysia telah menerima latihan daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengenai cara untuk mengendali kes jenayah moden, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum hari ini.

Beliau berkata, DOJ sangat aktif dalam mendedahkan dan melatih para hakim dan pegawai kehakiman untuk menangani jenayah moden seperti pengubahan wang haram, penipuan mata wang kripto, keganasan dan pemerdagangan manusia.

DOJ mula memberi latihan berkenaan sejak tahun lepas.

"Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) adalah satu lagi organisasi antarabangsa yang sangat membantu badan kehakiman kita terutama dalam menangani litigasi kepentingan awam.

"Universiti-universiti tempatan juga membantu. Latihan ini mengambil masa untuk matang. Kita perlu ingat bahawa Putrajaya bukan dibina dalam sehari,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis pelancaran pembukaan Tahun Perundangan 2019, di sini.

Ketua Hakim Negara berkata, Akademi Kehakiman Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah menganjurkan latihan dalaman untuk hakim dalam beberapa bidang undang-undang.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, beliau berkata, badan kehakiman sedang berbincang untuk membawa hakim-hakim yang berpengalaman dari United Kingdom untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pengurusan kes yang berkesan.

"Kami juga sedang berbincang dengan Badan Kehakiman Singapura bagi program perkongsian pengetahuan. Pada Mac akan ada satu program yang dianjurkan dengan bantuan Badan Kehakiman Singapura," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Malanjum berkata, badan kehakiman telah membuat satu deklarasi yang tegas untuk menegakkan Kedaulatan Undang-undang dan toleransi sifar terhadap apa-apa bentuk rasuah dan gangguan kehakiman sama ada secara dalaman atau luaran, politik atau sebaliknya, dalam pelaksanaan tugas kehakiman.

"Kami mengalu-alukan maklumat jika ada yang berlaku. Saya memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil mengikut undang-undang. Badan Kehakiman kekal dan akan tetap teguh dalam menegakkan kebebasannya.

“Kami sedar bahawa antara sebab mengapa orang ramai mempunyai persepsi negatif terhadap mahkamah adalah bahawa keputusan kami pada masa-masa tertentu tidak selaras dengan perasaan orang ramai atau kehendak majoriti. Respons kami terhadap perkara ini ialah supaya untuk memahami fungsi mahkamah," katanya.

Malanjum juga menggesa peguam muda supaya memberi bantuan perundangan secara percuma bagi mereka yang tidak diwakili manakala peguam yang baru diterima melakukan sebanyak mungkin kerja-kerja pro bono di mahkamah kerana ia akan memberi pengalaman dan keyakinan kepada mereka di mahkamah kelak.

Mengenai isu lain, Malanjum berkata badan kehakiman juga mengadakan perbincangan dengan beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kami menggalakkan para hakim dan pegawai kehakiman kita supaya mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman perintah khidmat masyarakat dan bukannya dipenjarakan kepada pesalah dalam kes yang sesuai. Melalui cara ini, bukan sahaja ia boleh memulihkan pesalah dengan lebih baik, malah menjimatkan kos penjara, " katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, semasa ditanya mengenai perintah khidmat masyarakat itu, beliau berkata hakim dan majistret perlu mempertimbangkan untuk menghukum tertuduh dalam bentuk khidmat masyarakat bagi kesalahan yang lebih kecil, bukannya menjatuhi hukuman penjara kerana ia juga dapat membantu mengurangkan kesesakan penjara.

Beliau berkata terdapat peruntukan dalam Kanun Keseksaan untuk menjatuhi hukuman terhadap tertuduh dalam bentuk khidmat masyarakat untuk kesalahan yang tidak serius.

“Langkah berkenaan telah dilaksanakan di Sabah yang saya rasa ia berjaya. Mereka (pesalah) akan memakai pakaian (penjara) ketika melakukan khidmat masyarakat.

"Apabila mereka berhadapan dengan orang awam (semasa melakukan khidmat masyarakat), mereka akan berasa malu, dan bukannya menghabiskan masa satu atau dua minggu di penjara," katanya.

Kira-kira 500 tetamu yang terdiri daripada pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, pengurusan pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan pegawai kehakiman menghadiri pembukaan Tahun Perundangan 2019 itu.

Semasa majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong melancarkan buku berjudul ‘Judicial Review Guide for Public Officers: An Introduction’. Buku berkenaan boleh dimuat turun dari laman web kehakiman (www.kehakiman.gov.my). - Bernama