Bantu pendidikan anak peneroka

Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
A
A
A

LIPIS - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mengumumkan skim baharu bagi membantu pendidikan anak peneroka, pada suku pertama tahun ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Skim itu akan memberi tumpuan khusus kepada aspek pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), ekoran permintaan dan tawaran gaji yang lumayan daripada majikan.

"Perancangan ini bermula sejak tahun lepas dan kita mengadakan perbincangan dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam mencari skim baharu untuk membantu pendidikan anak peneroka.

"Mereka diberi masa selama sebulan untuk kembali semula kepada kementerian (dengan perancangan) dan kita harap pada Februari, kita sudah boleh memperhalusi rancangan skim ini dan dibawa untuk persetujuan jemaah menteri pada Mac.

"Kos latihan TVET agak mahal dan kita minta mereka (Khazanah dan PNB) lihat bagaimana pembiayaan boleh dilakukan... sama ada menerusi biasiswa atau pemberian pinjaman," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kenduri Sekampung di Dewan Semai Bakti Sungai Koyan 2 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Pada perkembangan lain, Mohamed Azmin memberitahu bahawa Kertas Putih Felda yang dikatakan akan mendedahkan kecurangan kewangan agensi itu, akan dibentangkan ke Dewan Rakyat pada Mac ini.

Pembentangan kertas itu sepatutnya dijadual 10 Dis lepas, namun ditangguhkan atas nasihat Jabatan Peguam Negara memandangkan terdapat beberapa isu perundangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Jemaah menteri minta supaya (Kertas Putih Felda) dibentangkan pada Mac dan kita akan merujuk kepada Peguam Negara apa yang boleh dimasukkan (dalam pembentangan itu) jika ada kes mahkamah yang masih belum selesai," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa kehadiran pemimpin PH sekitar Parlimen Cameron Highlands adalah satu bentuk 'salah guna jentera kerajaan untuk berkempen'.

Katanya, kehadiran beliau ke Sungai Koyan adalah atas kapasiti sebagai menteri dan turut menggunakan kenderaan sendiri.

"Menteri juga adalah pemimpin parti dan kita kena turun berkempen namun kita pastikan tidak menyalahguna jentera kerajaan.

"Kita tidak berkempen kerana kempen hanya bermula esok... hari ini tidak berkempen lagi," katanya. - Bernama