'Bukan koronavirus tapi jangkitan saluran pernafasan'

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan ujian makmal terhadap seorang pesakit lelaki yang tular dalam satu rakaman video di sebuah hospital swasta di negeri ini didapati negatif koronavirus.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ujian pengesahan jangkitan terhadap lelaki berusia 50-an itu diperoleh hari ini sekali gus menafikan dakwaan terdapat kes pertama koronavirus di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya menegaskan bahawa kes berkenaan bukan positif koronavirus sebaliknya kes jangkitan saluran pernafasan.

“Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa dakwaan terdapat kes positif koronavirus adalah tidak tepat dan memaklumkan bahawa kes tersebut adalah kes jangkitan saluran pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan tiga kakitangan hospital lengkap berpakaian (PPE) membawa seorang pesakit menaiki ambulans di sebuah hospital swasta didakwa kes pertama positif koronavirus di negeri ini.

Dr Zaini berkata, pengurusan kes sebagaimana dalam rakaman video berkenaan adalah berdasarkan tatacara kawalan dan pencegahan infeksi yang dilakukan di seluruh Malaysia.

“Penggunaan alat perlindungan diri (PPE) oleh anggota kesihatan yang bertugas adalah bertujuan melindungi kesihatan anggota yang bertugas semasa pengendalian kes.

“Sehubungan itu, pihak kami meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa Makmal Kesihatan Awam Kota Bharu dan Hospital Raja Perempuan Zainab II kini mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesahan bagi jangkitan koronavirus.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman, mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.