Wan Azizah, Azmin rakam ucapan takziah kepada keluarga Abam Bocey

No Image Caption
A
A
A

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan yang meninggal dunia pagi tadi.

“Takziah buat keluarga Allahyarham Syed Umar Mokhtar Bin Syed Mohd Ridzuan (Abam Bocey). “Semoga ALLAH SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan mereka yang beriman,” katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya.

Ucapan takziah turut dizahirkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo kepada keluarga Allahyarham melalui platform Twitternya.

“Saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, yang lebih dikenali sebagai Abam Bocey, yang telah meninggal dunia pada pagi ini. Saya berdoa agar keluarga Allahyarham akan tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mengucapkan takziah kepada keluarga pelawak popular Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang meninggal dunia pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak Abam Bocey meninggal dunia

Mohamed Azmin menerusi ciapan di Twitternya berkongsi mengenai berita kesedihan itu.

“Perginya Syed Umar Mokhtar, seorang permata dari Gombak yang juga dikenali sebagai Abam Bocey dalam Maharaja Lawak.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan dan jasa arwah dalam memeriahkan industri hiburan tanah air akan dikenang. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah,” tulisnya.

Terdahulu, isteri Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali mengesahkan perkara tersebut.

Siti Norhidayah memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.

Abam dan Siti Norhidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.