Jutawan Australia kelahiran Malaysia pelawa sertai pembangunan bernilai A$88 bilion

Maha Sinnathamby
Maha Sinnathamby
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjalanan dari Negeri Sembilan ke Queensland, Australia boleh mengambil masa sehari sekiranya anda menaiki kapal terbang, tetapi bagi jutawan Maha Sinnathamby, perjalanan beliau mengambil masa seumur hidup.

Beliau yang dilahirkan di sebuah kampung di Rantau, Negeri Sembilan 80 tahun lalu tidak pernah bermimpi satu hari nanti akan menjadi salah seorang orang terkaya di Australia, apatah lagi menjadi pengasas bagi satu daripada bandar terancang induk paling berjaya di dunia.

Tetapi, kini, 28 tahun selepas membeli sebidang tanah seluas 2,860 hektar yang sebelumnya dianggap sebagai tidak bernilai oleh orang lain, Sinnathamby menjadi pendukung utama kepada pembangunan bernilai A$88 bilion yang menjadi kediaman bagi 43,000 penduduk jauh berbeza daripada ladang getah tempat kelahirannya.

Bandar metropolis Greater Springfield yang sedang berkembang maju, terletak di satu daripada koridor paling pantas berkembang di Australia, 25 kilometer dari Brisbane merupakan bandar terancang induk terbesar negara itu selepas ibu kota, Canberra.

Jika orang lain melihat kepada pokok dan bukit, Sinnathamby melihat kepada potensi. Beliau yang dibesarkan dengan kepercayaan bahawa pendidikan adalah manifestasi bagi kesempurnaan, membeli tanah itu pada 1992 dan merancang untuk membangunkannya.

“Saya dilahirkan di Malaysia yang dilanda perang dan membesar dalam kemiskinan di sebuah kampung kecil tanpa bekalan elektrik serta bekalan air yang mencukupi. Saya belajar dengan ditemani lampu minyak tanah dan saya bukanlah pelajar yang semula jadi cerdik,” katanya kepada Bernama dari Brisbane.

“Tetapi saya sedar bahawa pendidikan adalah mata wang bagi masa depan, Pendidikan adalah satu-satunya mata wang yang boleh ditunaikan di mana-mana sahaja di dunia. Pendidikan merupakan satu-satunya mata wang yang tidak boleh dicuri daripada pemiliknya dan dengan kegagalan pendidikan negara akan tumbang,” kata Sinnathamby.

“Bagi saya, pendidikan adalah jiwa kepada Springfield City dan sebagai bandar pendidikan, pelajar kini membentuk 44.6 peratus daripada populasi kami kira-kira 15,000 pelajar belajar di 11 sekolah, sebuah universiti dan kolej dengan penduduk sekarang adalah seramai 43,000 orang.”

Artikel Berkaitan:

Greater Springfield, bagaimanapun, lebih daripada sekadar bandar pendidikan kerana ia juga sebuah bandar masa depan, diiktiraf sebagai projek berkepentingan negara, dan dianugerahkan Anugerah Prix D'Excellence FIABCI bagi Komuniti Terancang Induk Terbaik Dunia.

Kini buat kali pertama, Sinnathamby dan rakan kongsi perniagaannya, Bob Sharpless mencari rakan kongsi atau konsortium rakan kongsi, yang komited untuk bekerjasama dengan syarikat mereka, Springfield City Group, bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi bandar tersebut di samping membina kemudahan yang lebih banyak untuk penduduknya.

“Ini adalah pelawaan untuk pasaran menyertai sebuah projek yang unik, yang diiktiraf oleh bekas Perdana Menteri Malcolm Turnbull sebagai pembinaan negara,” katanya.

“Batu asasnya telah diletakkan, lebuh raya dan laluan kereta api bernilai A$8 bilion juga dibina di samping terdapat sebelas sekolah, satu universiti dan sebuah hospital usaha gigih telah dilaksanakan.

“Kami sedang mencari satu rakan kongsi, atau beberapa rakan kongsi yang ingin bekerjasama dalam merealisasikan visi kami membina bandar paling futuristik di Australia berasaskan teras kesihatan, pendidikan dan teknologi dengan aspirasi satu pekerjaan bagi setiap tiga orang penduduk,” katanya.

Perundangan untuk membenarkan kelulusan perancangan bandar itu telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen Queensland pada 1997, yang bermaksud sebagai tambahan kepada jumlah penduduk masa depan lebih 136,000 orang, Greater Springfield juga menyediakan keluasan lantai kasar bagi penggunaan bercampur sebanyak 2,685,600 meter.

Sebagai perbandingan, jumlah keluasan lantai komersial milik swasta di tengah Singapura bersamaan dengan 3,625,237 meter persegi.

“Potensi Greater Springfield adalah amat besar," kata Sinnathamby.

Bandar itu yang direka berpandukan pelan induk terperinci dan berasaskan prinsip kesihatan, pendidikan dan teknologi, turut meliputi kawasan kesihatan seluas 52 hektar yang direka Fakulti Perubatan Harvard dan diuruskan hospital Mater dengan kelulusan 1,200 katil.

Presint pendidikan seluas 18 hektar dengan kapasiti untuk 10,000 pelajar diuruskan oleh kampus University of Southern Queensland. Bandar itu turut menempatkan pusat beli-belah Orion yang telah memenangi anugerah dengan kunjungan lebih 6.9 juta pelanggan setahun, dan ibu pejabat pasukan bola sepak Brisbane Lions Australia yang akan datang.

Kebanyakan pembangunannya telah siap melalui kerjasama jangka panjang dengan kumpulan hartanah Australia, Lendlease, Aveo dan hartanah R&F korporat utama China.

Setakat ini, sebanyak A$18 bilion telah dilaburkan dalam projek itu dengan tambahan A$70 bilion dijangka diperlukan untuk merealisasikan pelan induk sepenuhnya.

Cabang bank pelaburan global Australia, Moelis telah dilantik untuk menerajui pencarian global rakan kongsi dalam usahanya untuk memacu pertumbuhan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Moelis Australia, Andrew Pridham menggambarkan Greater Springfield sebagai penanda aras global untuk mewujudkan sebuah bandar, dan peluang pelaburan yang luas untuk rakan kongsi yang mahukan ruang hijau, akses kepada penduduk muda dan beraspirasi serta pelbagai peluang dalam pasaran pertumbuhan yang kukuh.

“Koridor barat daya South East Queensland merupakan antara koridor dengan pertumbuhan tertinggi di negara ini, dengan unjuran kerajaan menunjukkan ia akan berkembang dengan lebih cepat daripada yang lain di rantau ini,” kata Pridham.

“Pertumbuhan penduduk ini menyokong keyakinan mengenai permintaan akan datang untuk perkhidmatan dan sektor utama, dan mengetengahkan potensi peluang jangka panjang di Greater Springfield, pusat bandar utama untuk koridor itu.”

Konglomerat tenaga multinasional, Engie juga mempunyai Springfield dalam senarai rakan kongsinya, bersama dengan Singapura, Paris dan Barcelona. Kerjasama Engie merupakan sebahagian daripada pakatan strategik selama 50 tahun yang bersejarah untuk melabur dalam penjanaan tenaga boleh baharu dan infrastruktur penyimpanan, skim tenaga daerah, penyelesaian mobiliti hijau, inisiatif kecekapan tenaga serta pusat penyelidikan dan inovasi yang khusus. - Bernama