'Bukan bunuh diri, tapi hati yang terluka'

Aina mohon maaf gimik persembahan pada Anugerah Juara Lagu ke-34 menimbulkan salah faham. - Foto TV3
Aina mohon maaf gimik persembahan pada Anugerah Juara Lagu ke-34 menimbulkan salah faham. - Foto TV3
A
A
A

PENYANYI Aina Abdul menjelaskan gimik persembahan yang diterjemahkan dalam lagu Sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) adalah kesinambungan daripada muzik video lagu itu.

Katanya, persembahan itu juga adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita dan bukannya cubaan membunuh diri seperti yang ditafsirkan oleh pihak lain.

"Pertama sekali, saya nak mohon maaf sekiranya mesej saya telah disalah tafsirkan, melampaui batas atau keterlaluan bagi yang menonton.

"Sebenarnya darah itu bukan gambaran membunuh diri, sebaliknya lagu Sumpah itu sendiri adalah kisah kepada hati yang terluka.

"Saya sedar hati terluka juga boleh diterjemahkan dalam cara berbeza seperti kaca berderai tapi saya melihat darah itu adalah sesuatu yang lebih besar. Itu metafora saya cuba sampaikan seiring dengan lirik lagu Sumpah.

"Malah tak ada adegan saya menikam dada, cuma bagi yang pernah menonton video nyanyian atau cover saya, saya memang suka bermain dengan tangan untuk menterjemahkan perasaan saya dalam nyanyian," katanya yang ditemui selepas berakhirnya AJL34 malam tadi.

Aina Abdul - Foto Instagram
Aina Abdul - Foto Instagram

Tambah Aina, sebagai seseorang yang memperjuangkan mengenai kesihatan mental, dia masih mampu berfikiran waras dan tidak akan membuat sesuatu yang mendorong orang ramai melakukan kesilapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, idea untuk bermain dengan metafora darah itu adalah ideanya sendiri dan pakaian itu diinspirasikan daripada salah satu koleksi penyanyi antarabangsa, Lady Gaga.

"Bagi saya, kalau menyanyi sahaja tak cukup nak ekspresikan kelukaan itu, begitu juga kalau letak sedikit sahaja darah, orang tak akan nampak.

"Saya ambil pengajaran daripada kesilapan yang berlaku dan mungkin lepas ini, saya boleh jelaskan dengan lebih baik apabila mendendangkan lagu saya," ujarnya.

Menerusi persembahannya, penyanyi itu berpakaian serba putih dan dilihat menikam dadanya sehingga darah keluar membasahi pakaiannya.

Kreativiti dan gimik persembahan yang dibuat Aina itu mendapat maklum balas yang baik dan positif daripada penonton di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Pihak TV3 akan kaji semula

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak berkata, pihak penerbitan AJL 34 sentiasa mengambil tahu mengenai konsep yang diketengahkan barisan finalis.

Namun, kadang kala terdapat sesetengah penyanyi yang menyelitkan gimik-gimik tertentu pada saat akhir, yang mana tidak ditunjukkan pada sesi latihan penuh yang diadakan sehari sebelum majlis anugerah itu berlangsung.

"Pada sesi raptai penuh, mereka simpan gimik itu dan tidak tunjukkan sehingga pada hari berlangsungnya AJL.

"Perkara ini di luar kawalan kami memandangkan ia adalah siaran secara langsung. Kami akan kaji semula video persembahannya dan akan panggil Aina untuk penjelasan lanjut,” katanya.

Bagi mengelakkan timbul lebih banyak salah faham, pihaknya juga mengambil keputusan untuk menyekat video persembahan Aina disiarkan di saluran YouTube buat sementara waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gimik 'baju berdarah' cetus kontroversi