Anak Ghafar Baba beri keterangan di Bukit Aman

Mohd Tamrin memberi keterangan di Bukit Aman ditemani peguamnya pagi tadi.
Mohd Tamrin memberi keterangan di Bukit Aman ditemani peguamnya pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar selesai memberi keterangan kepada polis selepas hampir tiga jam menjalani proses itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan yang dimuat naik menerusi blognya pada 1 Februari lalu.

Sehari kemudian, kenyataan sama turut dimuat naik di satu laman Facebook.

Mohd Tamrin hadir bersama peguamnya, Mohd Azharul Ab Talib pada jam 10.50 pagi.

Beliau memberi keterangan berhubung 34 perkara mengenai tajuk berkaitan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya disoal satu persatu mengenai 34 perkara itu, apa maksud dan tujuan kenyataan itu dimuat naik di laman blog itu," katanya pada sidang akhbar selepas selesai merakam kenyataan pada jam 1.40 tengah hari tadi.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat laporan polis di Majidee, Johor, baru-baru ini.

"Laporan tersebut dibuat orang awam berdasarkan kenyataan yang telah dimuat naik di Facebook mengenai perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Azharul berkata, Mohd Tamrin tidak mempunyai akaun Facebook.

"Salinan kenyataan di blog tersebut telah dimuat naik di Facebook berkenaan," katanya.

Menerusi blognya, anak Allahyarham Abdul Ghafar itu antara lain mendakwa, beliau akan bertanggungjawab terhadap kenyataan dibuat dan bersedia diambil tindakan mengikut undang-undang.

Kes akan disiasat Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.