X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki tempatan individu terbaru positif koronavirus

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Satu lagi kes positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) dilaporkan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan melawat China, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang bekerja di Macau, China kembali ke Malaysia pada 1 Februari lepas.

Dr Noor Hisham berkata, individu terbabit mula merasa tidak sihat dan batuk pada 3 Februari lepas dan telah pergi ke klinik dan diberi ubat pada 4 dan 6 Februari.

"Pada 7 Februari, beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan selanjutnya pada hari yang sama beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya setelah disaring dan disiasat, lelaki itu dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut sebelum pemeriksaan seterusnya mendapati lelaki itu menghidap jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

"Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari telah disahkan positif 2019-nCoV," katanya.

Dr Noor Hisham, berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah pun dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

Beliau turut menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sehingga semalam, angka keseluruhan jangkitan koronavirus dalam negara berjumlah 17 kes.

Ia membabitkan tujuh kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

KKM turut menyeru orang ramai agar menghubungi hotline CPRC Kebangsaan di talian 03-88810200, 03-88810600 atau 03-88810700 bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus