Muzik medium penyatuan kaum

Idi Johan (belakang, kanan) menganggap muzik mampu menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Idi Johan (belakang, kanan) menganggap muzik mampu menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Usaha memartabatkan alat muzik tradisional diyakini mampu memupuk semangat perpaduan dan menjadi perantara penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Seorang guru matematik, Idi Johan Mohd Zohdi, 38, yang bergiat aktif dalam seni muzik kreatif beranggapan kepelbagaian yang dimiliki itu perlu dihayati semua pihak.

Beliau berkata, seni muzik merupakan sesuatu yang istimewa kerana rakyat boleh mempelajari, memahami dan mengukuhkan keakraban antara kaum.

“Malaysia merupakan sebuah negara unik kerana terdapat tiga bangsa terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

“Muzik ini subjektif dan kepelbagaian seni muzik di negara terdiri pelbagai kaum seperti Malaysia membantu kita mengenal antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Studio Cikgu Johan, Kampung Sungai Leman di sini semalam.

Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustaffa, Pasir Panjang di sini berkata, kemahirannya menggunakan alat muzik angklung misalnya diharap menjadi medium penyatuan bangsa.

“Saya memilih angklung kerana muzik tradisional dari Nusantara menyatukan keharmonian dalam kalangan kaum.

“Misalnya dengan angklung kita boleh mempersembahkan lagu dari malar hijau hingga pelbagai genre muzik lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain angklung, Idi Johan juga boleh bermain caklempong dan menjadi tenaga pengajar alat muzik tradisional terbabit.
Selain angklung, Idi Johan juga boleh bermain caklempong dan menjadi tenaga pengajar alat muzik tradisional terbabit.

Katanya, muzik juga menjadi medium terbaik bagi memupuk semangat perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Kalau kita lihat ada masyarakat Cina yang boleh bermain kompang dengan baik, manakala masyarakat India bermain gendang Cina dengan penuh kesungguhan dan penghayatan.

“Tidak salah sekiranya kita rakyat Malaysia berbangsa Melayu bermain alat muzik Cina kerana melaluinya kita berpeluang mengenali kemajmukan budaya satu sama lain,” katanya.

P Ramlee ikon perpaduan

Idi Johan berkata, dia amat menyanjungi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sehingga kini masih dikenang sebagai ikon perpaduan yang seharusnya dicontohi pada masa ini.

Bapa seorang anak itu memberitahu, P Ramlee berjaya meninggalkan kesan di hati rakyat Malaysia daripada semua latar belakang menerusi beberapa filem arahan dan lakonan beliau membabitkan isu semangat kemanusiaan.

“Saya percaya ada sebilangan besar masyarakat Cina dan India pandai menyanyikan lagu-lagu P Ramlee.

“Mereka ini kenal siapa P Ramlee dan tahu karya filem yang dilakonkan arwah mengetengahkan nilai-nilai perpaduan dan toleransi,” katanya.

Ujar Idi Johan, kemahiran bermain alat muzik itu dipelajarinya itu hasil pemerhatian dan bakat sendiri tanpa menghadiri kelas muzik.

Selain angklung, Idi Johan juga boleh bermain caklempong dan menjadi tenaga pengajar alat muzik tradisional terbabit.
Selain angklung, Idi Johan juga boleh bermain caklempong dan menjadi tenaga pengajar alat muzik tradisional terbabit.

“Bakat yang ada ini tidak saya persiakan, malah berkongsi kemahiran tersebut dengan pelajar.

“Saya juga aktif memainkan seni tradisional lain seperti caklempong, cempuling, kompang dan kugiran agar tidak ditelan zaman,” katanya.

Idi Johan memberitahu, semua lagu yang dimainkan menerusi alat angklung itu dimuat naik dalan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Instagram.

“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas diterima hasil seni saya diterima baik masyarakat setempat,” katanya.

Idi Johan berkata, terbaru alat muzik angklung digunakannya bagi mengiringi lagu Selamat Tahun Baru Cina.“Idea itu datang selepas saya dan isteri mengunjungi sebuah gerai goreng pisang arah ke Pantai Redang, Sekinchan.

“Oleh kerana meja penuh, kami duduk semeja dengan sekumpulan veteran Cina yang ketika itu sedang makan semeja sambil menyanyikan lagu raya Cina.

“Bermula dari situ, hati saya mula terdetik kenapa saya tidak menggunakan angklung bagi mengiringi lagu Cina,” katanya.

Katanya lagi, proses penyuntingan video dan rakaman mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan sepenuhnya.

“Antara persembahan besar yang telah saya jalankan ialah sewaktu simposium kaunseling peringkat kebangsaan bertempat di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL),” kata Idi Johan.