Berhenti bincang isu peralihan kuasa

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

ISU yang paling hangat diperkatakan sekarang ialah peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan konsensus Pakatan Harapan (PH) pada Januari 2018, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar namun tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Sehingga hari ini, belum ada tanda-tanda Dr Mahathir akan melepaskan jawatannya sehingga menimbulkan polemik politik terutama pihak-pihak yang berkepentingan.

Secara umumnya, peralihan kuasa mengikut konsesus PH itu adalah di luar daripada ketetapan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui serta mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Mengikut Perlembagaan, peralihan kuasa hanya berlaku jika Perdana Menteri berhenti, mati atau usul tidak percaya di Dewan Rakyat baru boleh dilantik Perdana Menteri baharu.

Jika keadaan itu tidak berlaku dalam Dewan Rakyat, maka dia kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita, Dr Mahathir menegaskan bahawa kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri kekal atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh 222 ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara itu merupakan prinsip bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

Kenyataan terkini Dr Mahathir itu diharap dapat meredakan suasana dan isu mengenai peralihan kuasa tidak terus dijadikan sebagai polemik yang berpanjangan.

Isu peralihan kuasa Perdana Menteri sepatutnya dibincangkan pada peringkat tertinggi parti, bukan secara umum sehingga menjadi perang mulut.

Banyak lagi isu penting memerlukan perhatian. Contohnya masalah kos sara hidup, harga barang, pengangguran, wabak koronavirus dan lain-lain.

Sepatutnya isu sebegini diberikan lebih tumpuan.

Keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat dan negara, bukannya soal peribadi atau tokoh-tokoh tertentu dalam parti.