Udara tercemar boleh bawa kematian

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

DUNIA kini digemparkan dengan jangkitan wabak koronavirus. Namun sedarkah bahawa pencemaran alam sekitar sebenarnya jauh lebih berbahaya kerana ia adalah pembunuh senyap dan dikaitkan dengan pelbagai penyakit.

Angka kematian akibat pencemaran alam sekitar jauh melebihi angka kematian daripada peperangan di serata dunia, namun kita jarang memberi perhatian sewajarnya disebabkan kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang kesannya kepada kesihatan.

Pada tahun 1952, kejadian pencemaran udara paling buruk dalam sejarah yang digelar 'The Great Smog' berlaku di Kota London. Ketiadaan tiupan angin membuatkan asap-asap yang keluar dari cerobong rumah memenuhi jalan-jalan di sekitar bandar membentuk kabus yang tebal memenuhi Kota London sehingga kadar penglihatan hampir tiada.

Kadar asid sulfurik yang tinggi dalam asap yang dibebaskan daripada pembakaran arang batu dari kediaman dan loji kuasa tersebut telah mengorbankan 12,000 orang dalam masa lima hari. Perkara ini memaksa Parlimen untuk menilai semula kesan pencemaran udara terhadap manusia yang membawa kepada terwartanya Akta Udara Bersih 1956 yang mengharamkan semua pembakaran yang menyebabkan pencemaran di seluruh England.

Menurut Laporan Udara Global, pada tahun 2017, pencemaran udara adalah penyebab utama kelima kematian di seluruh dunia mengatasi malaria, kemalangan jalan raya dan kekurangan zat makanan. Negara Asia di China, India, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh merupakan lima negara utama di dunia mencatatkan kadar kematian tertinggi akibat pencemaran udara.

Kajian tersebut menyatakan pencemaran udara memendekkan jangka hayat kanak-kanak kira-kira 23 bulan di Asia Timur berbanding 20 minggu untuk kanak-kanak di Asia Pasifik serta Amerika Utara. Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), kematian lebih awal akibat pencemaran udara terus bertambah menjelang 2040 kecuali perubahan dibuat kepada cara dunia menggunakan dan menghasilkan tenaga.

Malah di serata dunia, sembilan daripada 10 orang dikatakan menghirup udara tercemar setiap hari sehingga membawa kepada kira-kira 6.5 juta kematian secara global berpunca daripada kualiti buruk udara luar dan dalam, menjadikan ia ancaman keempat terbesar kepada kesihatan manusia selepas tekanan darah tinggi, risiko pemakanan dan merokok.

Kebergantungan masyarakat moden kepada kenderaan bermotor menyebabkan pembakaran bahan api terhasil dengan banyak juga membawa kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati seramai tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan pencemaran udara iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

Malangnya, pencemaran udara telah menjadi masalah yang berterusan di kebanyakan negara termasuk Malaysia. Di Malaysia, purata tahunan PM2.5 ialah sekitar 15 μg/m3 yang mana jumlah ini adalah 50 peratus lebih tinggi daripada paras selamat yang ditetapkan WHO. Lebih membimbangkan, nilai bacaan tahunan yang lebih teruk direkodkan di bandar besar seperti Petaling Jaya dengan bacaan 25 μg/m3. Pada tahun 1997, keadaan darurat pernah diisytiharkan di Kuching, Sarawak apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu yang melanda melebihi tahap 650, paras berbahaya paling tinggi dalam sejarah.

Tidak ramai kalangan kita menyedari menyedut udara yang tercemar boleh membawa padah. Pada tahun 2012 misalnya, pencemaran udara menjadi punca kematian lebih 6.5 juta orang yang mana jumlah ini bersamaan 11.6 peratus daripada jumlah kematian di seluruh dunia.

* Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia